Selamat Hari Ibu

Mama Tersayang - Sharipah


Mak Tersayang - Biah

Semalam Ahad 9 Mei 2010 merupakan sambutan Hari Ibu di Malaysia. Dikesempatan ini 'Abah' dan 'Ibu' ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada Mama & Mak yang kami sayangi. Bagi kami setiap masa adalah Hari Ibu cuma semalam adalah kemuncak untuk kami nyatakan rasa sayang dan cinta kami kepada mereka.

'Nenek Sharipah' adalah mama kepada 'Abah'. Sesungguhnya 'Nenek Sharipah' telah banyak mencorak kehidupan 'Abah' dan pakcik-pakcik dan makcik-makcik Umar dan Uwais. 'Nenek Sharipah' kiranya penyeimbang kepada 'Atuk'. 'Nenek Sharipah' orangnya tenang dan jika 'Abah' ada masalah, 'Abah' akan bagitahu 'Nenek Sharipah' dan dia akan bagitau kepada 'Atuk'. Insyaallah, selagi nyawa dikandung badan, 'Abah' akan cuba untuk berbakti kepada mama yang 'Abah' sayangi. Selamat Hari Ibu buat mama.

'Nenek Biah' pula adalah mak kepada 'Ibu'. Telah banyak jasa dan pengorbanan 'Nenek Biah' yang telah melahirkan dan membesarkan 'Ibu' dan pakcik-pakcik Umar dan Uwais yang lain. 'Ibu' lebih rapat dengan 'Nenek Biah' berbanding 'Atuk'. Alhamdulillah, 'Ibu' bersyukur kerana dengan didikan dan doa daripada 'Nenek Biah', 'Ibu' dapat hidup dengan bahagia di samping 'Abah' dan anak-anak 'Ibu' Umar & Uwais yang comel. 'Ibu' berharap masih diberi kesempatan untuk berbakti dan membalas jasa serta pengorbanan mak yang 'Ibu' sayangi. Selamat Hari Ibu buat mak.

Harapan 'Abah' & 'Ibu' agar Umar dan Uwais menjadi anak yang soleh serta berbakti kepada kedua Ibu Bapa sepertimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (al-Isra’:23)

Kerana keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa" (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dan taatlah perintah ibu bapa selagi mana ia bertepatan dengan syara' dan tinggalkanlah jika ia cenderung kepada menyekutuNYA:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan." (al-Ankabut:8)

No comments: