Isu Kartika Sari Dewi Shukarno

Oleh: Ahmad Safuan A. Rashid


Sekadar nak berkongsi mengenai isu saudari Kartika Sari Dewi Shukarno hasil daripada beberapa pembacaan samada di media arus perdana ataupun di internet. Saya rasa ramai dikalangan kita sedar akan isu ini sebab ia mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa, termasuk BBC dan CNN. Malah di Al Jazeera, artikel berkenan isu ini menjadi antara isu yang paling banyak mendapat respons emel daripada pembaca. Sefahaman saya, kartika dikenakan hukuman sebat setelah didapati bersalah kerana meminum minuman keras di sebuah hotel di Pahang.


Lalu berlakulah pelbagai reaksi dikalangan orang berkuasa mengenai isu ini sedangkan sehingga email ini ditulis, saudari Kartika masih mahu hukuman terhadapnya diteruskan dan enggan merayu. Beliau insaf dan mahu hukuman dijalankan ke atasnya sebagai pengajaran kepada orang lain persis peristiwa yang berlaku di zaman rasulullah yang mana ada seorang wanita mengaku berzina dan sanggup dihukum sebagai penebus ke atas dosa yang dilakukan.


Apa yang hendak saya ketengahkan adalah tindakan mahkamah syariah negeri Pahang adalah selari dengan peruntukkan dalam perlembagaan.


Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitulah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.


Hujah yang dikemukakan oleh Majlis Peguam dan juga beberapa NGO, bahawa hukuman sebat ke atas Kartika adalah berlawanan dengan peruntukan di bawah Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita. Walabagaimanapun, peruntukan Seksyen 289 (a) tersebut hanya terpakai dan berkuatkuasa di dalam kes jenayah yang dibawah bidangkuasa mahkamah sivil dan peruntukan tersebut tidak mengikat mahkamah syariah disebabkan peruntukan sedemikian tidak terdapat di dalam enakmen undang-undang Islam.


Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat ini adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan cara perlaksanaan hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa :

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.

ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.


Sekadar itu sahaja,


Wallahua’lam.

Salam Perantauan 2009


Alhamdulillah, baru dapat mesej daripada abah mertua aku di Malaysia maklumkan yang gambar dan ucapan kami sekeluarga keluar surat khabar Utusan Malaysia dalam ruangan Salam Perantauan hari ni (Khamis, 27 Ogos 2009). Tak sia-sia aku hantar ucapan tu awal sebelum Ramadhan lagi. Dalam Utusan online pun ade keluar dalam ALBUM KE 2. Jauh lebih awal berbanding tahun lepas yang ucapan kami hanya keluar online dalam album yang ke 40 lebih. Harapnya dengan ucapan dan gambar kami tu dapatlah mengubat kerinduan keluarga, saudara-mara dan sahabat kami di tanah air :)

Hari Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke 4


Alhamdulillah, hari ini 22 Ogos 2009 dah genap 4 tahun usia perkahwinan kami. Kebetulan sama hari dengan 1 Ramadhan pada tahun ini. Semoga ikatan cinta dan kasih antara kami suami isteri sentiasa dalam redha Allah dan berkekalan hingga ke SyurgaNya, serta dikurniakan kami dengan zuriat yang soleh dan solehah, ameen.

Sebagai muhasabah bersama para suami dan juga isteri, sudahkan ada ciri-ciri di bawah ini pada diri kita.

Ciri-Ciri Suami Yang Soleh :

· Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.

· Tidak kedekut dan bersikap sederhana di dalam perbelanjaan keluarga.

· Kasih sayang, mesra serta mengambil berat terhadap ahli keluarga.

· Tidak terburu-buru dalam menerima aduan, khabar-khabar angin.

· Tidak berlaku curang.

· Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.

· Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.

· Mencegah perkara-perkara yang mungkar di kalangan keluarga.

Ciri-Ciri Isteri Yang Solehah :

· Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami.

Maksudnya : “Jikalau seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak kemudian suami itu bermalam dalam keadaan marah maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi” Muttafaqun A’laih

· Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan hukum Syara’.

· Tidak bermasam muka terhadap suami.

· Sentiasa menuturkan kalimah-kalimah hasanah (yang baik-­baik).

· Tidak membebankan suami dengan permintaan yang diluar kemampuannya.

· Keluar rumah hendaklah dengan izin suami.

· Berhias hanya untuk suami.

· Menilai pengorbanan suami.

· Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan oleh suarni masuk ke dalam rumah.

· Menerima tunjuk ajar daripada suami.

· Menghormati mertuanya serta kaum keluarga suami.

· Sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba, kami sekeluarga juga ingin memohon maaf di atas segala kesalahan kami yang pernah menyinggung perasaan sesiapa tanpa kami menyedarinya. Semoga kita dipanjangkan usia dan dapat menjalani ibadah puasa serta meningkatkan amalan di bulan yang mulia ini.


Hobi Baru

Sekadar nak berkongsi hobi baru aku sekarang ni iaitu bercucuk-tanam.

Di bawah ni adalah rupa pokok kesum dan ulam raja selepas berusia hampir 2 bulan aku tanam. Pokok-pokok tersebut semakin membesar dan sihat. Terima kasih kepada Kak Jaslina yang telah memberikan benih pokok-pokok tersebut.


Selain tu aku juga menjaga pokok bunga ros yang telah diberikan oleh Saliza dan maknya sebelum balik ke Malaysia dulu. Pokok tersebut dah semakin besar dan kerap berbunga. Bunganya yang mula berkembang berwarna kuning pekat dan kemudiannya bertukar kepada warna kuning cair dan putih lama-kelamaaan. SubhanAllah, begitulah hebatnya kuasa Allah yang menciptakan.


"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya." (Al-Hajj: 18)