Muhasabah berasal dari perkataan ‘hasaba’ yang bermaksud hisab atau menilai diri. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Hasyr ayat ke 18 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatNya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Hasyr: 18)
Dalam ayat di atas, orang-orang yang mengaku beriman digesa supaya memeriksa atau mengingat kembali segala amal yang telah dilakukan dalam sehari. Ini demi menjaga orang-orang yang beriman daripada mengulangi kesalahan atau dosa yang telah dilakukan dengan sengaja mahupun tidak kerana mereka yang berterusan melakukan dosa adalah dianggap fasik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang pandai ialah yang membetulkan dirinya, bersedia beramal sebagai bekalan untuk mati, dan orang yang lemah ialah yang selalu menurut keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan-angan kepada Allah” (Riwayat At-Tirmidzi)
Muhasabah mestilah dilakukan sepanjang masa kerana kita tidak terlepas dari membuat dosa. Mereka yang tidak beramal dengan muhasabah ini akan bertindak mengikut nafsu atau keinginan sendiri kerana tidak pernah menilai sama ada apa yang telah dilakukan itu betul atau tidak. Sebagai seorang yang menyeru kepada Islam, kita tidak terlepas dari berbuat salah kepada diri sendiri mahupun kepada madú. Justeru, dengan muhasabah, kita dapat memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik dari sehari ke sehari. Selain itu, konsep muhasabah akan mengingatkan kita tentang hisab yang akan berlaku di akhirat nanti, lantas menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
Antara nasihat Saidina Umar Al-Khatab yang masyhur ialah: “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang”. Beliau muhasabah dirinya dengan menggunakan pedati untuk memukul kakinya pada waktu malam dengan berkata: “Khabarkan padaku apa yang telah engkau lakukan hari ini?”.
Walaubagaimanapun, dalam kita menghisab diri kita perlu berhati-hati agar tidak merasa riya’ atau ‘ujub dengan amal kebaikan yang kita lakukan. Sebaliknya kita perlu merasa risau kerana kita tidak pasti kesempurnaan amalan-amalan tersebut, samada ia diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya mengundang kemurkaanNya. Dalam hal ini, peranan sahabat-sahabat dan masyarakat sekeliling amatlah penting. Saidina Umar ra pernah berkata: “Rahmat Allah semoga tercurah atas siapa yang menunjukkan kepadaku segala cacat diriku”.
Sahabat yang baik ialah mereka yang berani menegur kesalahan diri kita dengan niat semata-mata kerana Allah. Amat jarang untuk berjumpa dengan sahabat yang sebegini kerana masing-masing takut untuk menegur demi menjaga hati atau bermaksud jahat; gembira melihat kesalahan yang kita lakukan sebagai aib kepada diri kita sendiri. Pemilihan kawan yang tepat akan membantu proses kita menilai diri sendiri dan menyelamatkan kita dari terus hanyut dengan pujian-pujian yang hanya memakan diri dan mematikan hati.
Oleh demikian, salah satu cadangan bagi melakukan muhasabah khusus kepada amalan seharian kita, satu borang muhasabah amalan boleh diwujudkan seperti contoh di bawah. Istiqamah dalam mengisi dan carilah teman-teman yang boleh bersama-sama dalam menghisab amalan seharian kita.
"Contoh borang muhasabah amalan"
5 comments:
mantap ni....macam kenal borang tu!
Yup..mantopps nih..macam kenai jugak borg tu hehehe
Sue, selalu isi sampai tengah bulan aje..lps tu kosong...ada cara tak nak systematic record..heheh..self-motivation...
mantop ni!..
hisablah diri sebelum dihisab - umar r.a
To Kak Yati - Memang bukan senang nak force diri sendiri untuk isi borang muhasabah ni kak. Mungkin akak boleh ajak orang lain sama-sama isi borang ni mcm suami akak ke. Lepas isi boleh tukar2 borang tu, jadi suami akak akan menjadi pemantau untuk akak :)
Post a Comment