Apple & Pear Picking







Setelah sekian lama ku tak menulis blog, hari ini rasa nak pos juga cerita yang dah lama terperam dalam draf. Cerita memetik buah epal dan pir pada 8 November 2009 yang lalu bersama kak Zahrah sekeluarga dan adik UG Hairul dan Ruzaini. Pengalaman yang tidak dapat aku lupakan. Dapat rasa memetik dan makan buah epal dan pir yang segar dan sedap, alhamdulillah. Ada buah epal yang aku tak pernah lihat dan rasa sebelum ni. Seterusnya biarlah gambar yang berbicara. Terima kasih kepada adik Ruzaini yang tolong ambil gambar dengan kamera DSLRnya :)


Kepada yang nak merasa pengalaman memetik buah boleh pergi ke ladang seperti alamat di bawah ini:

Goachers Pick Your Own
Green Acres, North Wheatley,
Retford,
Nottinghamshire DN22 9BG.
Tel: 01427 880341
Opening: Oct-April 10am - 5.30pm (closed wednesdays) Sundays 10am - 4pm;
May-Sept 9am -6.30pm (mid June - end of July 8pm)



"(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, Dan buah anggur serta sayur-sayuran, Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma, Dan taman-taman yang menghijau subur, Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu." ('Abasa: 24-32)

Hari Ulangtahun Kelahiran Uwais Yang Pertama

Alhamdulillah, hari ini 16 oktober 2009 genap setahun usia anak keduaku Muhammad Uwais. Tak terasa sudah setahun berlalu. Pada usia setahun hari ini Uwais sudah boleh berdiri dan berjalan sambil berpaut. Moga Uwais akan terus membesar dengan sihat sejahtera serta menjadi anak yang soleh :)


Cerita Aidilfitri 2009

Tahun ni merupakan kali ke-3 kami sekeluarga menyambut Aidilfitri di perantauan. Seperti biasa pada 1 Syawal 1430 H (20 Sept 2009) kami solat dan makan beramai-ramai di PMC bersama komuniti Malaysia yang lain. Oleh kerana Aidilfitri pada tahun ini jatuh pada hari Ahad, maka ramai yang mengadakan rumah terbuka. Jadi kami pun tak lepaskan peluang pergi beraya.

Pada hujung minggu berikutnya (26 & 27 Sept) merupakan giliran kariah Darnall mengadakan rumah terbuka. Kami puas beraya pada hari Sabtu dan Ahad. Tapi nasibku kurang baik pada hari isnin berikutnya aku kena cirit-birit. Dengarnya ramai juga orang di sini yang kena. Tak tahulah silap makan apa dan di mana.

Hujung minggu berikutnya (3 & 4 Okt) giliran kariah Tinsley pula membuat dewan terbuka dengan lebih kurang 12 juadah yang berbeza terhidang. Sekali lagi aku diserang cirit-birit keesokannya. Kali ni suamiku pun kena sama. Mujurlah tak seteruk minggu sebelumnya. Pada hari ahad keesokannya tu sempat lagi aku pi beraya di kariah Darnall. Ade lagi yang buat rumah terbuka.

Minggu berikutnya iaitu pada Sabtu 10 Oktober merupakan giliran kami membuat dewan terbuka. Pada tahun ini aku berkongsi dengan lima keluarga lain di kariah city membuat dewan terbuka di Norfolk Heritage Park bermula jam 12 tgh hingga 3.30 petang. Alhamdulillah, ramai kawan postgrad dan adik undergrad yang hadir. Terima kasih kami ucapkan. Tahun ni aku masak menu mihun dengan kuah soto ayam. Terima kasih buat adik angkat dan adik UG lain yang telah sudi menolong. Pada ahad keesokannya kami pergi beraya di rumah adik UG 5 filey, sahabat lain di city dan pada sebelah malam ada majlis raya SMSA.

Begitulah cerita raya kami di prantauan. Memang meriah dengan rumah dan dewan terbuka. Apa yang penting tradisi rumah terbuka dan ziarah menziarahi ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah sesama kami di bumi Sheffield ini :)

Kenangan kami bersama membuat dewan terbuka


Jemputan Dewan Terbuka Aidilfitri 2009

Dijemput semua kenalan untuk hadir ke dewan terbuka aidilfitri anjuran kami bersama keluarga lain di Sheffield..

Perjuangan

Lagu nasyid yang menjadi inspirasi buat diri sejak dulu hingga kini kerana perjuangan yang masih belum selesai..

Perjuangan itu gerun dan mengerikan
hebat dan dasyat mengerunkan hati
bagi mukmin di sini harga dan nilainya

Perjuangan itu bagai sampan di laut
di atas layar tiada perlindungan
di bawah air melambung dan mengulung
menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
angin yang menderu tidak tahu bila datang
hujan badai yang datang menyerang
bak singa lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
penumpang menerima nasib berlainan
ada yang jatuh ada yang tenggelam
yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ya Allah Ya Allah Ya Allah
bantulah kami hidup di dunia dan akhirat

Ada yang berjaya berenang ke tepian
sekali lagi ia melayar sampan
walau pelayaran mungkin tidak berjaya
namun harapnya hanya pada Yang Esa

Saff-one

Lailatul Qadar

Sama-samalah kita mencari malam yang sungguh istimewa ini..

Permata Hatiku

Gelagat anakku Umar yang sudah berusia 3 tahun dan Uwais yang sudah berusia 10 bulan. Umar sudah petah bercakap dan suka bertanya tentang banyak benda. Uwais pula sudah pandai merangkak, duduk dan dah mula berpaut untuk berdiri :)



“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur
" (An-Nahl: 78)


Isu Kartika Sari Dewi Shukarno

Oleh: Ahmad Safuan A. Rashid


Sekadar nak berkongsi mengenai isu saudari Kartika Sari Dewi Shukarno hasil daripada beberapa pembacaan samada di media arus perdana ataupun di internet. Saya rasa ramai dikalangan kita sedar akan isu ini sebab ia mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa, termasuk BBC dan CNN. Malah di Al Jazeera, artikel berkenan isu ini menjadi antara isu yang paling banyak mendapat respons emel daripada pembaca. Sefahaman saya, kartika dikenakan hukuman sebat setelah didapati bersalah kerana meminum minuman keras di sebuah hotel di Pahang.


Lalu berlakulah pelbagai reaksi dikalangan orang berkuasa mengenai isu ini sedangkan sehingga email ini ditulis, saudari Kartika masih mahu hukuman terhadapnya diteruskan dan enggan merayu. Beliau insaf dan mahu hukuman dijalankan ke atasnya sebagai pengajaran kepada orang lain persis peristiwa yang berlaku di zaman rasulullah yang mana ada seorang wanita mengaku berzina dan sanggup dihukum sebagai penebus ke atas dosa yang dilakukan.


Apa yang hendak saya ketengahkan adalah tindakan mahkamah syariah negeri Pahang adalah selari dengan peruntukkan dalam perlembagaan.


Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitulah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.


Hujah yang dikemukakan oleh Majlis Peguam dan juga beberapa NGO, bahawa hukuman sebat ke atas Kartika adalah berlawanan dengan peruntukan di bawah Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita. Walabagaimanapun, peruntukan Seksyen 289 (a) tersebut hanya terpakai dan berkuatkuasa di dalam kes jenayah yang dibawah bidangkuasa mahkamah sivil dan peruntukan tersebut tidak mengikat mahkamah syariah disebabkan peruntukan sedemikian tidak terdapat di dalam enakmen undang-undang Islam.


Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat ini adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan cara perlaksanaan hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa :

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.

ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.


Sekadar itu sahaja,


Wallahua’lam.

Salam Perantauan 2009


Alhamdulillah, baru dapat mesej daripada abah mertua aku di Malaysia maklumkan yang gambar dan ucapan kami sekeluarga keluar surat khabar Utusan Malaysia dalam ruangan Salam Perantauan hari ni (Khamis, 27 Ogos 2009). Tak sia-sia aku hantar ucapan tu awal sebelum Ramadhan lagi. Dalam Utusan online pun ade keluar dalam ALBUM KE 2. Jauh lebih awal berbanding tahun lepas yang ucapan kami hanya keluar online dalam album yang ke 40 lebih. Harapnya dengan ucapan dan gambar kami tu dapatlah mengubat kerinduan keluarga, saudara-mara dan sahabat kami di tanah air :)

Hari Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke 4


Alhamdulillah, hari ini 22 Ogos 2009 dah genap 4 tahun usia perkahwinan kami. Kebetulan sama hari dengan 1 Ramadhan pada tahun ini. Semoga ikatan cinta dan kasih antara kami suami isteri sentiasa dalam redha Allah dan berkekalan hingga ke SyurgaNya, serta dikurniakan kami dengan zuriat yang soleh dan solehah, ameen.

Sebagai muhasabah bersama para suami dan juga isteri, sudahkan ada ciri-ciri di bawah ini pada diri kita.

Ciri-Ciri Suami Yang Soleh :

· Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.

· Tidak kedekut dan bersikap sederhana di dalam perbelanjaan keluarga.

· Kasih sayang, mesra serta mengambil berat terhadap ahli keluarga.

· Tidak terburu-buru dalam menerima aduan, khabar-khabar angin.

· Tidak berlaku curang.

· Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.

· Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.

· Mencegah perkara-perkara yang mungkar di kalangan keluarga.

Ciri-Ciri Isteri Yang Solehah :

· Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami.

Maksudnya : “Jikalau seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak kemudian suami itu bermalam dalam keadaan marah maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi” Muttafaqun A’laih

· Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan hukum Syara’.

· Tidak bermasam muka terhadap suami.

· Sentiasa menuturkan kalimah-kalimah hasanah (yang baik-­baik).

· Tidak membebankan suami dengan permintaan yang diluar kemampuannya.

· Keluar rumah hendaklah dengan izin suami.

· Berhias hanya untuk suami.

· Menilai pengorbanan suami.

· Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan oleh suarni masuk ke dalam rumah.

· Menerima tunjuk ajar daripada suami.

· Menghormati mertuanya serta kaum keluarga suami.

· Sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba, kami sekeluarga juga ingin memohon maaf di atas segala kesalahan kami yang pernah menyinggung perasaan sesiapa tanpa kami menyedarinya. Semoga kita dipanjangkan usia dan dapat menjalani ibadah puasa serta meningkatkan amalan di bulan yang mulia ini.


Hobi Baru

Sekadar nak berkongsi hobi baru aku sekarang ni iaitu bercucuk-tanam.

Di bawah ni adalah rupa pokok kesum dan ulam raja selepas berusia hampir 2 bulan aku tanam. Pokok-pokok tersebut semakin membesar dan sihat. Terima kasih kepada Kak Jaslina yang telah memberikan benih pokok-pokok tersebut.


Selain tu aku juga menjaga pokok bunga ros yang telah diberikan oleh Saliza dan maknya sebelum balik ke Malaysia dulu. Pokok tersebut dah semakin besar dan kerap berbunga. Bunganya yang mula berkembang berwarna kuning pekat dan kemudiannya bertukar kepada warna kuning cair dan putih lama-kelamaaan. SubhanAllah, begitulah hebatnya kuasa Allah yang menciptakan.


"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya." (Al-Hajj: 18)


Kursus Solat Bersama UZAR

Kepada semua muslimin dan muslimat (DEWASA & REMAJA 15 TAHUN KE ATAS) yang berada di Sheffield dan sekitarnya..


Marilah beramai-ramai sertai KURSUS PEMANTAPAN SOLAT

Pada 8 OGOS 2009

Bertempat di Spectrum Centre, 183 Brunswick Road, S3 9LQ, Burngreave, Sheffield

Yuran hanya £10.00 (makanan & alat tulis disediakan)

Bersama USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN (UZAR) www.zaharuddin. net yang akan mengupas buku beliau yang bertajuk Formula Solat Sempurna (buku dijual berasingan dengan harga £10.00)


ATURCARA PROGRAM

9.00 - 10.45 pg : Solat Sempurna 1 (bermula pendahuluan, wudu)
10.45 - 11.15 pg : rehat dan minum pagi
11.15 - 12.45 tgh : Solat Sempurna 2 (sambungan)
12.45 - 2.00 ptg : rehat, solat dan makan tengahari
2.00 - 3.45 ptg : Solat sempurna 3 (sambungan hingga salam)
3.45 - 4.00 ptg : rehat dan minum petang
4.00 - 6.00 ptg : Khusyu', Hakikat dan Usaha


Jangan lepaskan peluang untuk menambah ilmu.
Daftar
segera SEBELUM 5 Ogos 2009!

HUBUNGI

En. Bukhari : 07818828902 / bukhari_ruh@yahoo.com

Puan Siti Rahayu : 07826753344 / ayuazwal@yahoo.com


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;" (Al-Baqarah: 45)


Resepi Kek Coklat Tiramisu

Seperti yang telah dijanjikan, aku nak berkongsi resepi kek coklat tiramisu yang pernah aku buat masa sambutan hari lahir aku dan juga masa jamuan sempena graduasi adik-adik tahun akhir di Sheffield baru-baru ni.

Kek coklat tiramisu

Bahagian 1 - Kek Coklat

Resepi untuk bahagian kek coklat ni aku dapat daripada Kak Suria. Resepi ni mudah dan keknya pun sedap dan lembap.

Bahan-Bahan:

Telur -3 biji
Tepung naik sendiri -2 cawan
Gula pasir - 2 cawan
Serbuk koko - 3/4 cawan
Minyak masak/jagung -1 cawan
Susu
segar - 1 cawan
Air masak mendidih - 1 cawan
Serbuk penaik - 1/2 sudu teh
Sodium bikarbonat - 1/2 sudu teh
Secubit garam
Sedikit perasa vanila

Cara membuat:

1. Pukul - Telur + Minyak + Susu + garam ( pukul ni sekadar rata dan kembang, bukan sampai jadi buih)
2.Masukkan tepung + Sodium bikarbonat + serbuk penaik + serbuk koko + gula pasir + perasa vanila.
3.Gaul guna sudip kayu. Kaup balikkan sahaja. Jangan pusing-pusing. Kaup sehingga rata.
4.Masukkan air panas mendidih (betul- betul mendidih supaya gula akan larut)-adunan memang cair.
5. Bakar pada suhu 180-200 (lebih kurang 1 jam sehingga masak). Untuk senang, letakkan kertas minyak pada dasar loyang. Lebih mudah kek dikeluarkan.

Bahagian 2 - Topping Tiramisu

Resepi untuk bahagian tiramisu ni aku dapat daripada web resepi Hanieliza.

Bahan-bahan:

250 gm keju cream [philadelphia]
150 ml yogurt asli (boleh gantikan dengan whipping cream bagi yang tak suka rasa masam)
1/2 cawan gula
serbuk nescafe

Cara membuat:

1. Pukul keju dan gula sehingga gebu
2. Masukkan yogurt/whipping cream dan pukul lagi sehingga rata
3. Sapukan adunan dibahagian atas kek coklat
5. Ayakkan serbuk nescafe di atas permukaan kek tadi dan hiaskan mengikut citarasa anda
7. Sejukkan beberapa jam sebelum dihidangkan.



Selamat mencuba!

Hari Keluarga PMPMS 09

Pada 4 Julai yang lalu telah diadakan hari keluarga Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffied (PMPMS) bagi tahun 2009 bertempat di Ponderosa Park. Hari keluarga pada tahun ini telah berjalan dengan meriah dan disertai ramai keluarga. Banyak acara seperti cabutan bertuah dengan hadiah yang lumayan, pertunjukan fesyen kanak-kanak dan acara sukaneka untuk ibu-bapa dan anak-anak telah diadakan. Slot pengundian untuk AJK baru sesi 09/10 juga turut diadakan. Pada hari keluarga kali ini suamiku selaku AJK sesi 08/09 agak sibuk kerana bertugas sebagai AJK bahagian jamuan dan makanan.

Pada awalnya aku telah mendaftarkan anakku Umar untuk acara pertunjukkan fesyen kanak-kanak. Temanya ialah 'what I want to be'. Aku bercadang untuk mamakaikan Umar dengan baju Melayu serta serban lilit dengan tema Al-Hafiz. Siap tuliskan tanda nama Umar Al-Hafiz sekali. Malangnya pada hari tersebut Umar agak mengantuk sebab kurang tidur. Jadi, dia tak nak pakai baju yang aku bawa. Setelah dipujuk oleh kawanku Rya dia setuju juga untuk pakai baju Polis. Tapi rupanya cuma sekejap. Semasa pertunjukkan fesyen Umar tak nak juga turut serta. Agak kecewa juga aku sebab tak dapat nak rakamkan aksi Umar bergaya macam kawan-kawan dia yang lain. Nasib baik sempat juga ambil gambar dia sebelum dia mula nak buka baju polis tu.

Umar bergaya dengan baju polis

Untuk acara cabutan bertuah kami ada juga menang hadiah botol air dan jag kaca. Aku juga ada sertai acara mengupas kulit epal terpanjang. Tapi aku tak menang sebab ada lagi yang boleh kupas lebih panjang. Untuk acara suami isteri, aku dan suami ada sertai kuiz 'Biarlah Rahsia', acara lari ikat kaki dan makan buah limau. Daripada ketiga-tiga acara, lari ikat kakilah yang paling seronok dan merupakan pengalaman manis untuk kami berdua sebab berjaya dapat tempat kedua daripada ramai-ramai pasangan yang turut serta. Alhamdulillah, rasa macam tak percaya kami boleh menang. Hadiahnya ialah sebuah jag kaca juga.


Acara lari ikat kaki suami isteri

Bergambar ramai-ramai

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." (Ar-Ruum: 22)


Meniti Usiaku 28 Tahun



Alhamdulillah, pada hari ini 7 Julai 2009 genaplah sudah 28 tahun aku bernafas di bumi Allah ini. Sempena hari lahirku kali ini, aku cuba membuat sendiri kek coklat tiramisu. Alhamdulillah kek tersebut menjadi dan sedap rasanya. InsyaAllah aku akan berkongsi resepinya nanti.





Kek hari lahirku ke-28

Ucapan terima kasih kepada suamiku yang tersayang untuk kad dan hadiah yang sangat istimewa iaitu seutas jam tangan TIMEX. Hadiah yang sangat aku nantikan sebab aku teringin nak pakai semula jam tangan. Aku pun dah tak ingat bila kali terakhir aku pakai jam tangan dan macam mana rupa jam tangan aku yang terakhir. Harapnya aku akan lebih menghargai dan menepati masa selepas ini kerana masa adalah kehidupan dan bertambahnya usiaku hari ini menandakan semakin pendek lagi baki usiaku di dunia ini.

Hadiah istimewa daripada suamiku

Ucapan terima kasih juga buat kak Zahrah yang memberikan kad serta hadiah set gelas yang cantik dan Eliyana yang memberikan kad dan sarung telefon bimbit yang comel. Kedua-dua hadiah tersebut sangat aku suka dan berguna.

Akhir sekali ucapan terima kasih juga kepada semua yang tak lupa memberikan ucapan dan doa sempena hari lahir kepadaku. Moga usiaku yang telah berlalu dan akan datang akan diberkatiNya. Amin.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" (Al-Mulk: 2)


Selamat Hari Lahir ke-3 Anakku Umar

5 Jun yang lalu Umar genap berusia 3 tahun. Sudah besar anak sulungku rupanya. Kini Umar semakin petah bercakap. Dia dah suka bertanya tentang banyak benda.

Sempena hari ulangtahun kelahiran Umar ke-3 kami membuat sedikit kenduri doa selamat. Kebetulan ibu bapa mertua dan adik iparku juga ada di sini. Abah pun jadi chef masak nasi minyak dan aku pula buat kek keju. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan hadiah untuk Umar.

Harapanku agar anakku Umar membesar dalam sejahtera dan menjadi anak yang soleh dan bertakwa dan semoga aku dan suami dapat mendidik dan mengasuhnya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.


Kek daripada ibu

Hadiah-hadiah

Nabi SAW Bersabda: “Samaratakanlah (berlaku adil) pemberian antara anak-anak kamu sebagaimana kamu suka mereka benlaku adil terhadap kamu dari segi kebaikan dan kasih sayang.” (Riwayat At-Tabrani)



Percutian Musim Panas

Pada musim panas tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk pergi jalan-jalan. Percutian kami lebih bermakna dengan kehadiran ibu bapa mertua dan adik-adik iparku dari Malaysia. Sepanjang tempoh 3 minggu mereka berada di UK, kami telah pergi bercuti dan melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar England dan Scotland. Di sini aku imbau semula tentatif program jalan-jalan kami :

31 Mei (Ahad) : Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Alhamdulillah, Abah, mama, yah dan adik selamat tiba di rumah kami di Sheffield. Selepas makan tengah hari kami pergi jalan-jalan ke Peak District dan Weston Park.

1 Jun (Isnin) : Jalan-jalan ke Sheffield Botanical Garden. Tengok bunga-bunga yang masih ada berkembang.

2 Jun (Selasa) : Jalan-jalan ke Winter Garden dan Millenium Gallery di pusat bandar Sheffield.

3 Jun (Rabu) : Jalan dan membeli-belah di TJ Huges, Primark dll. di pusat bandar Sheffield.

5 Jun (Jumaat) : Jalan dan membeli-belah di Meadow Hall, pusat membeli-belah yang terkenal di Sheffield. Hari ni juga merupakan hari lahir anakku Umar yang ke-3. Pada sebelah malam kami adakan kenduri doa selamat dan jamuan nasi minyak yang dimasak istimewa oleh Abah.

6 Jun (Sabtu) : Membeli-belah di Dadibhais, Bradford dan jalan-jalan di York. Sayangnya kami sampai di York agak lewat petang. Jadi tak sempat nak melawat castle-castle yang menarik di sana.

7 Jun (Ahad) : Pergi ke Carboot Sales di Old Coat, kedai outlet di Doncaster dan makan malam di Kebabish.

8 Jun (Isnin) : Membeli pinggan mangkuk di Stoke On Trent, gudang pinggan mangkuk berjenama buatan England yang terkenal. Tapi aku tak ikut ke sana.

9 Jun (Selasa) : Melawat Weston Park Museum.

10 Jun (Rabu) : Membeli-belah di pusat bandar Sheffield. Abah membeli kamera digital di kedai Jessop.

11 Jun (Khamis) : Jemputan makan malam di rumah Kak Zahrah

12 Jun (Jumaat) : Bertolak ke Glasgow, Scotland. Singgah solat jumaat di Masjid Darlington. Kami menginap di Hotel Premier Inn, Glasgow.

13 Jun (Sabtu) : Melawat Museum of Transport dan Uni of Glasgow. Abah mengimbau semula kenangan lamanya sewaktu belajar di Uni of Glasgow kira-kira 30 tahun dahulu. Kami tiba di Edinburgh agak lewat petang. Tak sempat nak melawat castle dll. Kemudian kami pergi ziarah dan makan malam di rumah Kak Fuada dan Abg Saidi.

14 Jun (Ahad) : Makan tengah hari di rumah Kak Jas dan Azril. Ziarah Hazimin dan Isma yang baru bersalin di hospital. Melawat Kelvingrove Museum and Art Gallery. Kami masuk lewat dan tak sempat nak lihat banyak pameran. Bertolak balik ke Sheffield.

16 Jun (Selasa) : Membeli-belah di ASDA.

17 Jun (Rabu) : Yah dan adik ikut abang pergi makmal universiti.

18 Jun (Khamis) : Hari ini merupakan hari lahir adik iparku Nadiah yang ke-24. Aku sempat membuat kek keju untuk Yah. Selepas memotong kek dan bersarapan kami bertolak ke London dengan menyewa sebuah bas mini. Kami menyewa di rumah tumpangan yang dimiliki oleh En. Mahfuz. Tak sangka rupanya En. Mahfuz adalah bekas anak murid mama. Kecil sungguh dunia ni. Sebelah petang kami melawat sekitar Houses of Parliament, Big Ben. dan London Eye. Kami juga berjalan menyusuri Thames River daripada Wesminter Bridge sehingga ke Tower Bridge.

19 Jun (Jumaat) : Kami melawat Madame Thussaud's. Dapat lihat patung lilin para pelakon dan penyanyi hollywood dan bollywood, ahli politik, ahli sukan, ahli sains dll. Selepas itu, kami bersolat Jumaat di Regent's Park Mosque. Kemudian jalan-jalan di Oxford Street, Hyde Park dan Regent's Park. Kami dapat menikmati keindahan bunga-bunga ros pelbagai warna dan rupa. SubhanAllah.

20 Jun (Sabtu) : Melawat St. James Park dan Buckingham Palace. Masa berlalu sangat pantas dan hari ini abah, mama, yah dan adik berangkat pulang ke tanah air. Aku tak dapat menahan sebak dan air mata sewaktu mengiringi kepulangan mereka semua di Heathrow Airport.

21 Jun (Ahad) : Walaupun terasa sunyi tanpa abah, mama, yah dan adik, kami harus meneruskan kehidupan. Hari ini kami ke rumah Razin dan Nafisah dan bermalam di sana. Pada sebelah petang kami sempat ziarah ke rumah En. Zahar dan Kak Ani (pegawai MARA)

22 Jun (Isnin) : Seperti yang telah dirancang, kami pergi ke HiCom Malaysia untuk membuat passport Uwais. Alhamdulillah, urusan passport Uwais dapat diselesaikan walaupun kami tiba agak lewat, lebih jam 12.00 tgh (kerana menjangkakan waktu urusan passport hingga ke petang). Pada sebelah malam kami bertolak pulang ke Sheffield dengan menaiki kereta api.

Apabila tiba di rumah lebih kurang jam 2.00 pagi hari Selasa 23 Jun, aku dapati ada bungkusan di atas katil bilikku. Rupanya ada surprise daripada abah, mama dan adik iparku. Mereka tinggalkan sekeping kad ucapan selamat tinggal dan juga hadiah buku Men Are From Mars, Women Are From Venus. Kebetulan aku memang teringin sangat nak membaca buku tersebut. Terima kasih Abah, mama, yah dan adik untuk kad dan hadiah buku tu. Tak lupa juga terima kasih kerana tolong bawakan ikan bilis, baju-baju untuk dijual, belikan buku-buku, baju-baju raya dan lain-lain. Moga kita akan dipertemukan lagi di tanah air nanti. Rindunya kat korang semua...

Kenangan di Edinburgh Castle, Scotland

"Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain." (Ar-Rahmaan: 10)


Tag - The 6th Sense

Dah lama ku kena tag dengan Sanaa', junior masa kat UTM dulu. Baru arini sempat jawab :)

Instruction:
Go to your photos folder in your computer.
Go to the 6th folder of photos.
Go to the 6th picture in that folder.

Put the picture on your blog and a description of it.
Invite six friends to join the challenge.
Link them in your blog and let them know they have been challenged
.



Dan inilah gambar yang kena..

Gambar ini diambil pada 11 Oktober 2008 masa jamuan sempena aidilfitri di rumah Zakiah dan Azizi. Masa ni aku tengah sarat mengandungkan Uwais dan tak sangka 5 hari lepas tu aku pun bersalin :)

Sekarang aku nak tag 6 orang lagi kenalan aku.

1. Hasmerya
2. Baiti
3. Huzai
4. Kak Pah
5. Kak Zahrah
6. Kak Jaslina

Dapat Award Lagi


Terima kasih diucapkan kepada adik Irah kerana memberi award yang comel ini. Warnanya yang hijau memang secocok dengan warna blog aku :)

Pertemuan dan Perpisahan

8 Mei yang lalu masih segar dalam ingatanku. Pada hari itu hujan turun membasahi bumi Sheffield, seolah-olah mengerti akan kesedihan hatiku yang terpaksa merelakan sebuah perpisahan. Pada hari tersebut kami sekeluarga ke stesen kereta api untuk menghantar mak cik Saba'ah dan Saliza ke London. Mereka akan pulang ke Malaysia pada keesokan harinya. Ketika bersalaman dengan mak cik kami sama-sama tak dapat menahan air mata daripada mengalir.

Sunguh pantas masa berlalu. Sudah 3 bulan rupanya mak cik berada di rumah kami. Rasa bagai baru semalam mak cik tiba bersama pak cik Yaa'cob kerana menziarahi anak mereka Saliza yang sakit dan ditempatkan di Royal Hallamshire Hospital berdekatan rumah kami. Terlalu banyak kenangan sewaktu mereka berada di rumahku ini. Anakku umar memang rapat dengan atuk dan neneknya (panggilannya untuk pak cik dan mak cik). Bila pak cik Yaa'cob terpaksa pulang lebih awal ke Malaysia pada bulan Mac lalu, anakku Umar tercari-cari atuknya. Mujurlah masih ada nenek yang selalu melayan dia.

Kini bila mereka semua sudah pulang ke Malaysia, kami sangat terasa sunyi dan kehilangan. Walaubagaimanapun kami bersyukur kerana kesihatan Saliza bertambah baik dan semoga dia akan sembuh sepenuhnya selepas menjalani rawatan susulan di Malaysia nanti. Semoga kami dapat berjumpa lagi di Malaysia nanti. Ukhuwwah itu indah bila kita bertemu dan berpisah kerana Allah.

"Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (An-Nuur: 22)


Cerita Tentang Anakku Umar dan Uwais

Alhamdulillah. Pada saat ini aku masih diberi peluang untuk bernafas dan menghirup udara musim bunga di bumi Sheffield. Sudah agak lama aku menyepi dari dunia blog ini kerana kekangan masa. Banyak cerita yang hendak aku catatkan di blog ini hanya tinggal sebagai memori di dalam minda.

Main puzzle di Muzium Sheffield

Aku memang dah lama nak cerita tentang perkembangan anak-anak aku ni. Anak sulungku Umar dah nak masuk 3 tahun bulan Jun akan datang. Alhamdulillah, dia semakin pandai dan banyak bercakap sekarang ni. Dia sangat minat dengan buku-buku dan suka menghafal benda. SubhanAllah, daya ingatan Umar memang kuat. Aku pun selalu galakkan dia menghafal dengan merangsang secara visual, auditori dan kinestetik. Sejak usia 2 tahun hingga sekarang dia dah hafal ABC, 1-10 dalam BM dan BI, Alif sampai Ya beserta nama-nama benda dalam 3 bahasa. Umar juga dah pandai mengira dan minat nak hafal nombor yang lebih banyak. Aku pun dah mula ajar dia iqra' dan alhamdulillah memang dia cepat ingat dan belajar. Selain tu Umar juga dah berminat nak membaca buku. Aku pun dah mulakan sikit dengan set buku al-Ameen yang aku bawa dari Malaysia. Alhamdulillah kat UK ni juga kami boleh beli mainan anak-anak dengan harga yang murah di jualan carboot. Mainan Umar juga turut membantu proses pembelajaran dia. Umar memang sangat suka main puzzle. Aku pun galakkan Umar main mainan macam playdooh, melukis dan mewarna untuk merangsang lagi kreativiti dan penggunaan otak kanan dia. InsyaAllah Umar akan mula masuk nurseri pada bulan 9 nanti. Kat UK ni ada peruntukan 15 jam percuma kelas nurseri untuk anak-anak yang berumur 3-4 tahun. Aku harap Umar akan dapat belajar lebih banyak benda di nurseri dia nanti terutamanya dari segi bahasa Inggeris.

Main playgym

Anak keduaku Uwais pula dah berusia 5 bulan lebih sekarang ni. Dia dah pandai senyum, ketawa dan pandai main mainan. Dia dah boleh mengiringkan badan tapi belum meniarap. Alhamdulillah badan dia membesar dengan sihat dengan susu ibu sepenuhnya. Aku dah mula bagi dia makanan pejal macam puri buah-buahan dan nasi. Setakat ni dulu cerita tentang perkembangan anak-anak aku. Harapanku agar anak-anakku membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh dan bertaqwa. Ameen..

Nabi s.a.w. bersabda:

“Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara iaitu mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca Al-Quran. Sebab orang-orang yang memelihara Al-Quran itu berada di dalam lindungan singahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindunganNya beserta para nabinya dan orang-orang yang suci”. (Riwayat Ad-Dailami)