Isu Kartika Sari Dewi Shukarno

Oleh: Ahmad Safuan A. Rashid


Sekadar nak berkongsi mengenai isu saudari Kartika Sari Dewi Shukarno hasil daripada beberapa pembacaan samada di media arus perdana ataupun di internet. Saya rasa ramai dikalangan kita sedar akan isu ini sebab ia mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa, termasuk BBC dan CNN. Malah di Al Jazeera, artikel berkenan isu ini menjadi antara isu yang paling banyak mendapat respons emel daripada pembaca. Sefahaman saya, kartika dikenakan hukuman sebat setelah didapati bersalah kerana meminum minuman keras di sebuah hotel di Pahang.


Lalu berlakulah pelbagai reaksi dikalangan orang berkuasa mengenai isu ini sedangkan sehingga email ini ditulis, saudari Kartika masih mahu hukuman terhadapnya diteruskan dan enggan merayu. Beliau insaf dan mahu hukuman dijalankan ke atasnya sebagai pengajaran kepada orang lain persis peristiwa yang berlaku di zaman rasulullah yang mana ada seorang wanita mengaku berzina dan sanggup dihukum sebagai penebus ke atas dosa yang dilakukan.


Apa yang hendak saya ketengahkan adalah tindakan mahkamah syariah negeri Pahang adalah selari dengan peruntukkan dalam perlembagaan.


Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitulah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.


Hujah yang dikemukakan oleh Majlis Peguam dan juga beberapa NGO, bahawa hukuman sebat ke atas Kartika adalah berlawanan dengan peruntukan di bawah Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita. Walabagaimanapun, peruntukan Seksyen 289 (a) tersebut hanya terpakai dan berkuatkuasa di dalam kes jenayah yang dibawah bidangkuasa mahkamah sivil dan peruntukan tersebut tidak mengikat mahkamah syariah disebabkan peruntukan sedemikian tidak terdapat di dalam enakmen undang-undang Islam.


Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat ini adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan cara perlaksanaan hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa :

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.

ix. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

x. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.


Sekadar itu sahaja,


Wallahua’lam.

3 comments:

Queenie said...

Aunty salute kat KSDS dan bapanya, namun lom ada sorang pun ulama yg berani tampil memberi penjelasan dari sudut yg penuh kebenaran, memasing mcm tkut poketnya bocor nanti. Tula...dari sebelom posa sampai dah masuk posa...

Hmm...masih teringat perilaku nabi junjungan sewaktu seorg wanita dtg meminta dihukum setelah mengaku berzina.

Betapa berlemah lembutnya dan berhemahnya baginda saw...

pearl said...

su..pandainye pasal akta2 tuh...kaji mane tuh? mcm baca artikel daripada peguam syariah lak..byk akta2 hehehehe

Suhaila said...

Salam..

Betul kata aunty QueenJah..

Pearl..artikel ni cik abang kite yang buat..dah agak mesti ramai tak perasan nama author kat bawah entry tu..hehe..kite bukan pakar undang2 syariah..kalau undang2 kimia tu boleh la..hehe

ape pun moga kes KSDS ni dapat menjadi pengajaran dan membuka mata kita..dan semoga syariat Allah akan dapat dilaksanakan di bumi Malaysia kita yang tercinta..