Alhamdulillah hari ini aku diberi kesihatan dan kesempatan untuk menulis lagi di blog ini. Selama 3 hari berturut-turut pada hujung minggu lepas (Sabtu, Ahad dan Isnin) pelbagai peristiwa dan pengalaman telah aku lalui.
--> Perlawanan Futsal
Pada petang hari Sabtu lepas aku bersama2 suami dan anak telah pergi menonton perlawanan Futsal anjuran PMPMS. Kebetulan suami aku juga turut bermain mewakili pasukan Pro Goal B dari City. Sepanjang perlawanan aku agak letih kerana banyak berdiri dan berjalan sambil mengejar anakku Umar yang terlalu excited berlari-lari di gelanggang. Alhamdulillah, pasukan suamiku berjaya menyandang NAIB JUARA.
--> Jalan-jalan di Botanical Garden
Pada keesokan harinya iaitu hari Ahad, kami sekeluarga telah pergi ke Sheffield Botanical Garden untuk kali kedua. Kami berjalan-jalan sambil anak kami Umar berlari-lari dengan seronok di atas padang rumput. Kami lihat tiada lagi bunga2 tulip yang mekar berwarna-warni seperti sebelum ini. Yang tinggal hanyalah tanah yang telah digembur. Mungkin musim bunga tulip telah berlalu. Tapi kami bernasib baik kerana pada ketika ini bunga2 ros pula sedang mula berkembang. Aku sungguh excited melihat bunga ros kegemaranku yang pelbagai warna sedang berkembang mekar. Jadi aku tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar setiap jenis dan warna bunga ros yang ada di sana.
--> Bermalam di Wad Hospital
Pada hari berikutnya, iaitu hari Isnin, secara tiba-tiba aku telah mengalami pendarahan bermula jam 4.00 ptg. Aku fikir pendarahan itu hanya sekejap, tetapi jangkaan aku meleset kerana darah merah terus keluar sehingga jam 9.30 mlm. Aku dan suami merasa cemas dan bimbang lalu kami pun menghubungi bahagian Triage di Hospital bersalin Jessop Wing. Pihak hospital meminta aku datang ke hospital dengan segera, lalu kira-kira jam 10 malam kami pun tiba di sana. Sampel urin dan darahku telah diambil untuk pemeriksaan. Daripada ujian degup jantung yang dijalankan ke atas bayiku alhamdulillah semuanya masih normal. Suami dan anakku terpaksa pulang ke rumah pada jam 12.00 tgh mlm kerana sudah lewat dan anakku Umar hendak tidur. Sedih juga aku kerana terpaksa tinggal bersendirian ketika itu.
Aku terpaksa menunggu hingga jam 1.00 pagi untuk pemeriksaan doktor kerana banyak kes kecemasan pada mlm itu. Daripada hasil pemeriksaan doktor, aku terpaksa dimasukkan ke wad dan keadaan aku akan dipantau hingga keesokan hari. Pada jam 2.00 pg aku telah dibawa ke bilik no. 11 di wad Concord. Apabila tiba di wad degup jantung bayiku sekali lagi diperiksa dan alhamdulillah segalanya masih normal. Oleh kerana sudah lewat malam aku agak sukar hendak melelapkan mata, tambahan lagi kerana berada di tempat asing, teringat suami dan anakku dan rasa sakit yang aku alami akibat saluran keluar darah yang dibuat pada tangan kiriku.
Pada keesokan pagi, apabila aku menjenguk ke luar tinggap sebelah katilku aku dapat melihat dengan jelas tingkap dapur rumah kami. Aku sempat lagi menelefon suamiku dan memberitahunya untuk menjenguk ke luar tingkap dapur kami. Dari jauh aku dapat melihat suamiku tetapi dia tidak dapat melihat aku kerana tidak pasti kedudukan tingkap bilikku ketika itu. Rasa kelakar juga ketika itu bila memikirkan yang aku rasa kesedihan kerana keseorangan walhal rumahku dekat sangat dengan hospital ni. Alhamdulillah, pagi itu juga pendarahan merah sudah berhenti dan hanya tinggal sisa darah sahaja. Aku telah dibenarkan pulang ke rumah pada jam 11.00 pagi setelah hasil pemeriksaan degup jantung bayiku buat kali ketiga menunjukkan hasil yang memuaskan. Aku dinasihatkan agar banyak berehat, jangan mengangkat benda berat dan kurang berjalan-jalan kerana ada kemungkinan pendarahan akan berulang lagi akibat kedudukan uriku yang berada di bahagian bawah rahim. Aku pasti pendarahan yang berlaku ini juga berpunca daripada keletihan yang aku alami akibat banyak bergerak dan berjalan ketika pergi menonton perlawanan futsal dan bersiar-siar di Botanical Garden tempoh hari. Jadi selepas ini aku perlu mengurangkan lagi aktiviti berjalan dan keluar rumah walaupun hakikatnya aku merasa sangat bosan dan jemu duduk di rumah.
Alhamdulillah aku mempunyai seorang suami yang tidak kekok untuk membantu aku membuat kerja rumah pada saat2 memerlukan seperti sekarang. Sejak aku keluar hospital sehingga semalam, suamiku terpaksa mengambil cuti dan berada di rumah untuk membantu aku menguruskan anak, memasak dan lain-lain. Setelah dua hari bercuti, pada hari ini suamiku kembali semula ke uni. Semoga aku diberi kudrat dan upaya untuk menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu di samping menjaga kandunganku dengan sebaiknya.
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Anfaal: 46)
No comments:
Post a Comment