Anakku..Permata Hatiku

Masa bergerak begitu pantas hingga aku tak sedar dah 2 tahun berlalu sejak Umar dilahirkan. Dia dilahirkan lebih awal dari tarikh jangkaan dan tanpa apa2 tanda selain sakit perut yang aku alami sejak jam 4 pagi pd 5 Jun 2006. Jam 9 pagi aku dah sampai di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan pada jam 4 ptg aku dimasukkan ke wad bersalin. Masih segar dalam ingatan saat2 mencemaskan ketika aku berada di wad bersalin tersebut. Selama lebih 5 jam aku bergelut menahan kesakitan yang tiap saat makin kuat. Hanya Allah yang tahu bagaimana rasa sakitnya ketika itu. Oleh kerana sakit yang agak lama dan aku tidak makan ketika itu, aku sudah hilang tenaga dan daya untuk meneran di saat2 akhir. Keadaan agak mencemaskan kerana kepala Umar tersekat di pintu agak lama. Alhamdulillah, dengan izinNya dan bantuan 2 org jururawat serta sokongan suamiku, pada jam 9.45 malam 5 Jun 2006 Umar selamat dilahirkan ke dunia ini. Tak tergambar rasa gembiranya aku dan suami dengan kelahiran Umar pada ketika itu. Tetapi kegembiraan kami tidak berpanjangan apabila Umar telah di tahan di Wad kanak-kanak HSA kerana disyaki menghidap penyakit Torticollis dan dia juga kurang memberi respon. Jadi doktor mengesyaki ianya ada kaitan dengan kepala Umar yang menjadi sedikit lonjong ke kiri akibat lama tersekat di pintu rahim. Kami merasa amat bimbang. Selepas 3 hari Umar telah dibenarkan untuk dibawa pulang, tetapi kami harus mendapatkan rawatan susulan.

Ketika baru dilahirkan

Selepas 7 hari Umar di lahirkan, kami mengadakan acara cukur rambut dan memberi nama. Seperti yang dicadangkan oleh datuknya, nama yang diberi Muhammad Umar Mukhtar iaitu sempena nama seorang pejuang Islam yang membebaskan Libya daripada cengkaman Itali, Umar Mukhtar yang juga dikenali sebagai lion of the desert. Alhamdulillah penyakit Torticollis Umar telah sembuh dengan izinNya dan hasil senaman yang aku praktikkan pada Umar. Bentuk kepalanya juga telah kembali normal walaupun masih agak besar sedikit. Namun ketika Umar berusia hampir 7 bulan, dia telah menjalani pembedahan kecil kerana berlaku jangkitan pada kelenjar lehernya yang menyebabkan jadi bisul besar. Ketika itu kesabaran kami ibu bapanya sekali lagi diuji. Kesian umar, kecik2 lagi dah kena bedah dan terpaksa menahan sakit setiap kali luka bedahnya dicuci. Alhamdulillah selepas pembedahan dan rawatan susulan. Umar tak mengalami jangkitan dan bisul lagi. Selepas itu Umar membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.

Ketika berusia 7 bulan (dah boleh meniarap)

Alhamdulilah, aku telah berpeluang untuk menjaga Umar sepenuh masa memandangkan aku belum lagi bekerja. Pengalaman membesarkan anak dengan tangan sendiri memang menyeronokkan kerana aku dapat menyaksikan sendiri tumbesaran dan setiap perkembangannya dari mula meniarap, menyusur, merangkak, duduk, berdiri, bertatih, berjalan, berlari dan skrg mula bercakap. Susah payah melahirkan, menjaga dan membesarkannya terutama ketika dia sakit dll memberi peluang kepadaku untuk merasa bagaimana penat lelah ibu bapaku sewaktu ketika dahulu melahirkan dan membesarkan aku hingga telah berkahwin sekarang. Sesungguhnya tidak mampu untuk aku membalas semua jasa dan pengorbanan mereka.

Ketika berusia setahun

Ketika berusia 1 tahun 5 bulan (dah boleh berjalan)

Alhamdulillah, dalam usia 2 tahun ini, Umar semakin membesar dan banyak perkembangannya. Dia sudah mula pandai bercakap dan menyebut banyak perkataan. Yang paling menggembirakan aku ialah apabila dia sudah pandai memangil aku 'ibu' sejak beberapa minggu sebelum dia berusia 2 tahun dan setelah sekian lama aku menantikan panggilan itu dari mulutnya. Umar juga dah pandai ikut org bersolat. Setiap kali aku dan suami solat jemaah dia pun excited nak ikut sambil kata Allahuakhbar dalam pelat dia. Dia dah pandai berdiri, duduk antara dua sujud dan sujud. Cuma ruku' je yang belum. Alhamdulillah, mudahan Umar jadi hambaNya yang taat beribadah kelak.

Kini berusia 2 tahun

Semakin dia membesar semakin banyak juga cabaran dan tangungjawab kami dalam mendidiknya agar menjadi khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi ini dan juga hambaNya yang taat dan patuh segala perintahNya suatu hari nanti. Aku sentiasa berdoa dan berharap agar diberikan kesabaran dalam mendidik Umar dan adik2nya kelak. Mereka nilah harta yang aku ada dan mudah2an ada bekalan dari doa mereka yang boleh aku bawa bila ke alam barzakh nanti. Ya Allah aku bersyukur kerana diberi peluang dalam kehidupan di dunia yang singkat ini mengecapi nikmat menjadi seorang isteri dan seterusnya menjadi ibu yang dikurniakan anak2 sebagai permata hati. Alhamdulillah...

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al-Ahqaaf: 15)

No comments: