Cerita bola jaring dan bowling ni sebenarnya dah lama berlalu. Tapi aku nak masukkan juga dalam blog sebagai kenang-kenangan. Aku pernah sertai perlawanan bola jaring dan bowling anjuran Helwa Sheffield. Perlawanan bola jaring telah diadakan pada 2 Mei tahun lepas. Aku mewakili pasukan kariah City-Firth Park. Selain itu terdapat dua lagi pasukan iaitu daripada kariah Darnall dan Tinsley. Ini adalah pertama kali aku bermain bola jaring selepas hampir 11 tahun tak bermain. Kali terakhir aku memegang bola jaring ialah pada tahun 1998, iaitu semasa aku di tingkatan lima. Dan seperti dahulu juga, aku diletakkan di posisi GK atau GD kerana faktor ketinggian. Sebelum hari perlawanan, pasukan aku giat berlatih. Akibatnya, badan aku mengalami kejutan dan menyebabkan sakit dan lenguh yang bukan sedikit terutamanya di bahagian lutut. Sampaikan aku fikir tulang lutut aku dah terkehel dan berkira-kira nak jumpa doktor hospital. Alhamdulillah selepas rehat, sakit aku berkurangan. Dan semasa hari perlawanan dapat juga aku bermain. Pasukan aku telah berusaha sedaya-upaya untuk merebut gelaran juara. Namun, kami kalah dengan perbezaan jaringan yang tipis kepada pasukan Tinsley. Alhamdulillah, dapat naib juara dan dapat juga pingat untuk kenang-kenangan. Yang penting dapat pengalaman bermain dan mengeratkan lagi ukhuwwah dengan rakan helwa yang lain.
Perlawanan bowling pula telah diadakan pada 12 Disember tahun lepas. Perlawanan diadakan secara berkumpulan yang ditentukan oleh penganjur secara rawak. Ini kali pertama juga aku sertai perlawanan bowling sejak berada di Sheffield. Dah lama teringin nak sertai perlawanan yang diadakan setiap tahun ini. Alhamdulillah kali ni berkesempatan. Terima kasih kepada suamiku yang tolong menjaga anak-anak sambil menjadi penonton dan penyokong. Hadiah disediakan untuk dua pemain terbaik dan dua kumpulan terbaik. Sayangnya kumpulan aku dapat tempat ketiga daripada enam kumpulan dengan beza hanya 3 mata daripada kumpulan naib johan. Untuk individu pula aku berada di tangga ke-11 daripada 27 orang pemain. Macam mana pun, aku dapat pengalaman yang menyeronokkan dan semoga aku ada peluang untuk bermain lagi selepas ini.
No comments:
Post a Comment