Hilangnya sebutir permata di bumi Sheffield

Ketika aku menulis di blog ini suamiku masih dalam perjalanan pulang dari London selepas menghantar Mas Afzal. Dia akan pulang ke Malaysia pada waktu malam hari ini 31 Januari dengan penerbangan MAS. Kepulangannya dari bumi Sheffield terasa umpama kehilangan sebutir permata yang sangat berharga. Dia sememangnya agak rapat dengan suami dan keluargaku. Dia sudah kami anggap seperti adik sendiri. Dia yang kami kenali sememangnya seorang yang boleh dijadikan sebagai contoh peribadi. Berjaya menamatkan pengajian dan menjadi Dr perubatan. Di samping aktif berpesatuan dan bermasyarakat serta komited dengan kerja-kerja Islam. Seorang yang sangat suka mambantu orang lain walaupun diri sendiri dalam kesusahan.

Dan kerana itu Allah tunjukkan rasa kasihNya pada Mas Afzal dengan ujian penyakit kanser yang diketahui ketika dia masih berjuang untuk menamatkan pengajian pada hujung tahun 2008. Ketika mula mengetahui berita tersebut aku dan suami seolah-olah tidak percaya dan rasa sangat sedih. Namun kami tetap medoakan agar penyakitnya boleh sembuh. Selepas siri kemoterapi pertama, alhamdulillah menampakkan harapan pada mulanya. Namun setelah pemeriksaan masih ada sel kanser yang dikesan. Lalu pada hujung tahun 2009 dia menjalani kemoterapi dengan dos yang paling tinggi. Kami menjangkakan setelah itu dia akan kembali pulih. Namun kami dikejutkan dengan keputusan ujian bahawa sel kanser telah merebak kebahagian lain badannya. Apabila mengetahui berita tersebut aku dan suami berasa sangat sedih sehingga tidak mampu menahan air mata. Setelah itu dia pun membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia untuk mencari sinar harapan dan mencuba kaedah perubatan lain.

Apa yang kami kagumi, dia sangat kuat dan tabah mengharungi dugaan penyakitnya. Apabila diketahui keputusannya untuk pulang, ramai kenalan jauh dan dekat tak putus berkunjung dan hulurkan sumbangan sebelum dia balik. Di SINI adalah rakaman video ucapannya semasa majlis solat hajat di Sheffield pada 29 Januari lepas.

Pesan Mas Afzal sebelum kami berpisah agar jangan ditangisi pemergiannya tetapi jadikanlah inspirasi untuk menjadi lebih baik. InsyaALLAH, kalau ada umur kita akan berjumpa lagi di Malaysia, dan kalu tidak mudahan berjumpa di syurgaNya.

Doa kami agar Mas Afzal serta keluarga terus kuat dan tabah dan semoga Allah berikan yang terbaik buatnya di dunia dan akhirat. Mudahan kami juga dapat mendidik anak-anak kami agar dapat mencontohi peribadinya. Kisahnya juga ada dinukilkan dalam BLOGNYA.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” (Al-Baqarah:284)


2 comments:

~niesa~ said...

semoga dr mas afzal selamat sampai ke tanah air dan semuanya Allah yang Maha Kuasa menentukan segalanya...segala yang terbaik buat dr mas afzal...tabahnya diri mengharungi semua ini...hikmah menanti di sebalik semua ini...

Suhaila said...

Salam Niesa,

Alhamdulillah Mas dah selamat tiba di M'sia. Sama2 kita doakan yang terbaik untuk dia.