Kursus Solat Bersama UZAR

Kepada semua muslimin dan muslimat (DEWASA & REMAJA 15 TAHUN KE ATAS) yang berada di Sheffield dan sekitarnya..


Marilah beramai-ramai sertai KURSUS PEMANTAPAN SOLAT

Pada 8 OGOS 2009

Bertempat di Spectrum Centre, 183 Brunswick Road, S3 9LQ, Burngreave, Sheffield

Yuran hanya £10.00 (makanan & alat tulis disediakan)

Bersama USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN (UZAR) www.zaharuddin. net yang akan mengupas buku beliau yang bertajuk Formula Solat Sempurna (buku dijual berasingan dengan harga £10.00)


ATURCARA PROGRAM

9.00 - 10.45 pg : Solat Sempurna 1 (bermula pendahuluan, wudu)
10.45 - 11.15 pg : rehat dan minum pagi
11.15 - 12.45 tgh : Solat Sempurna 2 (sambungan)
12.45 - 2.00 ptg : rehat, solat dan makan tengahari
2.00 - 3.45 ptg : Solat sempurna 3 (sambungan hingga salam)
3.45 - 4.00 ptg : rehat dan minum petang
4.00 - 6.00 ptg : Khusyu', Hakikat dan Usaha


Jangan lepaskan peluang untuk menambah ilmu.
Daftar
segera SEBELUM 5 Ogos 2009!

HUBUNGI

En. Bukhari : 07818828902 / bukhari_ruh@yahoo.com

Puan Siti Rahayu : 07826753344 / ayuazwal@yahoo.com


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;" (Al-Baqarah: 45)


Resepi Kek Coklat Tiramisu

Seperti yang telah dijanjikan, aku nak berkongsi resepi kek coklat tiramisu yang pernah aku buat masa sambutan hari lahir aku dan juga masa jamuan sempena graduasi adik-adik tahun akhir di Sheffield baru-baru ni.

Kek coklat tiramisu

Bahagian 1 - Kek Coklat

Resepi untuk bahagian kek coklat ni aku dapat daripada Kak Suria. Resepi ni mudah dan keknya pun sedap dan lembap.

Bahan-Bahan:

Telur -3 biji
Tepung naik sendiri -2 cawan
Gula pasir - 2 cawan
Serbuk koko - 3/4 cawan
Minyak masak/jagung -1 cawan
Susu
segar - 1 cawan
Air masak mendidih - 1 cawan
Serbuk penaik - 1/2 sudu teh
Sodium bikarbonat - 1/2 sudu teh
Secubit garam
Sedikit perasa vanila

Cara membuat:

1. Pukul - Telur + Minyak + Susu + garam ( pukul ni sekadar rata dan kembang, bukan sampai jadi buih)
2.Masukkan tepung + Sodium bikarbonat + serbuk penaik + serbuk koko + gula pasir + perasa vanila.
3.Gaul guna sudip kayu. Kaup balikkan sahaja. Jangan pusing-pusing. Kaup sehingga rata.
4.Masukkan air panas mendidih (betul- betul mendidih supaya gula akan larut)-adunan memang cair.
5. Bakar pada suhu 180-200 (lebih kurang 1 jam sehingga masak). Untuk senang, letakkan kertas minyak pada dasar loyang. Lebih mudah kek dikeluarkan.

Bahagian 2 - Topping Tiramisu

Resepi untuk bahagian tiramisu ni aku dapat daripada web resepi Hanieliza.

Bahan-bahan:

250 gm keju cream [philadelphia]
150 ml yogurt asli (boleh gantikan dengan whipping cream bagi yang tak suka rasa masam)
1/2 cawan gula
serbuk nescafe

Cara membuat:

1. Pukul keju dan gula sehingga gebu
2. Masukkan yogurt/whipping cream dan pukul lagi sehingga rata
3. Sapukan adunan dibahagian atas kek coklat
5. Ayakkan serbuk nescafe di atas permukaan kek tadi dan hiaskan mengikut citarasa anda
7. Sejukkan beberapa jam sebelum dihidangkan.



Selamat mencuba!

Hari Keluarga PMPMS 09

Pada 4 Julai yang lalu telah diadakan hari keluarga Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffied (PMPMS) bagi tahun 2009 bertempat di Ponderosa Park. Hari keluarga pada tahun ini telah berjalan dengan meriah dan disertai ramai keluarga. Banyak acara seperti cabutan bertuah dengan hadiah yang lumayan, pertunjukan fesyen kanak-kanak dan acara sukaneka untuk ibu-bapa dan anak-anak telah diadakan. Slot pengundian untuk AJK baru sesi 09/10 juga turut diadakan. Pada hari keluarga kali ini suamiku selaku AJK sesi 08/09 agak sibuk kerana bertugas sebagai AJK bahagian jamuan dan makanan.

Pada awalnya aku telah mendaftarkan anakku Umar untuk acara pertunjukkan fesyen kanak-kanak. Temanya ialah 'what I want to be'. Aku bercadang untuk mamakaikan Umar dengan baju Melayu serta serban lilit dengan tema Al-Hafiz. Siap tuliskan tanda nama Umar Al-Hafiz sekali. Malangnya pada hari tersebut Umar agak mengantuk sebab kurang tidur. Jadi, dia tak nak pakai baju yang aku bawa. Setelah dipujuk oleh kawanku Rya dia setuju juga untuk pakai baju Polis. Tapi rupanya cuma sekejap. Semasa pertunjukkan fesyen Umar tak nak juga turut serta. Agak kecewa juga aku sebab tak dapat nak rakamkan aksi Umar bergaya macam kawan-kawan dia yang lain. Nasib baik sempat juga ambil gambar dia sebelum dia mula nak buka baju polis tu.

Umar bergaya dengan baju polis

Untuk acara cabutan bertuah kami ada juga menang hadiah botol air dan jag kaca. Aku juga ada sertai acara mengupas kulit epal terpanjang. Tapi aku tak menang sebab ada lagi yang boleh kupas lebih panjang. Untuk acara suami isteri, aku dan suami ada sertai kuiz 'Biarlah Rahsia', acara lari ikat kaki dan makan buah limau. Daripada ketiga-tiga acara, lari ikat kakilah yang paling seronok dan merupakan pengalaman manis untuk kami berdua sebab berjaya dapat tempat kedua daripada ramai-ramai pasangan yang turut serta. Alhamdulillah, rasa macam tak percaya kami boleh menang. Hadiahnya ialah sebuah jag kaca juga.


Acara lari ikat kaki suami isteri

Bergambar ramai-ramai

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." (Ar-Ruum: 22)


Meniti Usiaku 28 Tahun



Alhamdulillah, pada hari ini 7 Julai 2009 genaplah sudah 28 tahun aku bernafas di bumi Allah ini. Sempena hari lahirku kali ini, aku cuba membuat sendiri kek coklat tiramisu. Alhamdulillah kek tersebut menjadi dan sedap rasanya. InsyaAllah aku akan berkongsi resepinya nanti.





Kek hari lahirku ke-28

Ucapan terima kasih kepada suamiku yang tersayang untuk kad dan hadiah yang sangat istimewa iaitu seutas jam tangan TIMEX. Hadiah yang sangat aku nantikan sebab aku teringin nak pakai semula jam tangan. Aku pun dah tak ingat bila kali terakhir aku pakai jam tangan dan macam mana rupa jam tangan aku yang terakhir. Harapnya aku akan lebih menghargai dan menepati masa selepas ini kerana masa adalah kehidupan dan bertambahnya usiaku hari ini menandakan semakin pendek lagi baki usiaku di dunia ini.

Hadiah istimewa daripada suamiku

Ucapan terima kasih juga buat kak Zahrah yang memberikan kad serta hadiah set gelas yang cantik dan Eliyana yang memberikan kad dan sarung telefon bimbit yang comel. Kedua-dua hadiah tersebut sangat aku suka dan berguna.

Akhir sekali ucapan terima kasih juga kepada semua yang tak lupa memberikan ucapan dan doa sempena hari lahir kepadaku. Moga usiaku yang telah berlalu dan akan datang akan diberkatiNya. Amin.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" (Al-Mulk: 2)


Selamat Hari Lahir ke-3 Anakku Umar

5 Jun yang lalu Umar genap berusia 3 tahun. Sudah besar anak sulungku rupanya. Kini Umar semakin petah bercakap. Dia dah suka bertanya tentang banyak benda.

Sempena hari ulangtahun kelahiran Umar ke-3 kami membuat sedikit kenduri doa selamat. Kebetulan ibu bapa mertua dan adik iparku juga ada di sini. Abah pun jadi chef masak nasi minyak dan aku pula buat kek keju. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan hadiah untuk Umar.

Harapanku agar anakku Umar membesar dalam sejahtera dan menjadi anak yang soleh dan bertakwa dan semoga aku dan suami dapat mendidik dan mengasuhnya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.


Kek daripada ibu

Hadiah-hadiah

Nabi SAW Bersabda: “Samaratakanlah (berlaku adil) pemberian antara anak-anak kamu sebagaimana kamu suka mereka benlaku adil terhadap kamu dari segi kebaikan dan kasih sayang.” (Riwayat At-Tabrani)



Percutian Musim Panas

Pada musim panas tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk pergi jalan-jalan. Percutian kami lebih bermakna dengan kehadiran ibu bapa mertua dan adik-adik iparku dari Malaysia. Sepanjang tempoh 3 minggu mereka berada di UK, kami telah pergi bercuti dan melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar England dan Scotland. Di sini aku imbau semula tentatif program jalan-jalan kami :

31 Mei (Ahad) : Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Alhamdulillah, Abah, mama, yah dan adik selamat tiba di rumah kami di Sheffield. Selepas makan tengah hari kami pergi jalan-jalan ke Peak District dan Weston Park.

1 Jun (Isnin) : Jalan-jalan ke Sheffield Botanical Garden. Tengok bunga-bunga yang masih ada berkembang.

2 Jun (Selasa) : Jalan-jalan ke Winter Garden dan Millenium Gallery di pusat bandar Sheffield.

3 Jun (Rabu) : Jalan dan membeli-belah di TJ Huges, Primark dll. di pusat bandar Sheffield.

5 Jun (Jumaat) : Jalan dan membeli-belah di Meadow Hall, pusat membeli-belah yang terkenal di Sheffield. Hari ni juga merupakan hari lahir anakku Umar yang ke-3. Pada sebelah malam kami adakan kenduri doa selamat dan jamuan nasi minyak yang dimasak istimewa oleh Abah.

6 Jun (Sabtu) : Membeli-belah di Dadibhais, Bradford dan jalan-jalan di York. Sayangnya kami sampai di York agak lewat petang. Jadi tak sempat nak melawat castle-castle yang menarik di sana.

7 Jun (Ahad) : Pergi ke Carboot Sales di Old Coat, kedai outlet di Doncaster dan makan malam di Kebabish.

8 Jun (Isnin) : Membeli pinggan mangkuk di Stoke On Trent, gudang pinggan mangkuk berjenama buatan England yang terkenal. Tapi aku tak ikut ke sana.

9 Jun (Selasa) : Melawat Weston Park Museum.

10 Jun (Rabu) : Membeli-belah di pusat bandar Sheffield. Abah membeli kamera digital di kedai Jessop.

11 Jun (Khamis) : Jemputan makan malam di rumah Kak Zahrah

12 Jun (Jumaat) : Bertolak ke Glasgow, Scotland. Singgah solat jumaat di Masjid Darlington. Kami menginap di Hotel Premier Inn, Glasgow.

13 Jun (Sabtu) : Melawat Museum of Transport dan Uni of Glasgow. Abah mengimbau semula kenangan lamanya sewaktu belajar di Uni of Glasgow kira-kira 30 tahun dahulu. Kami tiba di Edinburgh agak lewat petang. Tak sempat nak melawat castle dll. Kemudian kami pergi ziarah dan makan malam di rumah Kak Fuada dan Abg Saidi.

14 Jun (Ahad) : Makan tengah hari di rumah Kak Jas dan Azril. Ziarah Hazimin dan Isma yang baru bersalin di hospital. Melawat Kelvingrove Museum and Art Gallery. Kami masuk lewat dan tak sempat nak lihat banyak pameran. Bertolak balik ke Sheffield.

16 Jun (Selasa) : Membeli-belah di ASDA.

17 Jun (Rabu) : Yah dan adik ikut abang pergi makmal universiti.

18 Jun (Khamis) : Hari ini merupakan hari lahir adik iparku Nadiah yang ke-24. Aku sempat membuat kek keju untuk Yah. Selepas memotong kek dan bersarapan kami bertolak ke London dengan menyewa sebuah bas mini. Kami menyewa di rumah tumpangan yang dimiliki oleh En. Mahfuz. Tak sangka rupanya En. Mahfuz adalah bekas anak murid mama. Kecil sungguh dunia ni. Sebelah petang kami melawat sekitar Houses of Parliament, Big Ben. dan London Eye. Kami juga berjalan menyusuri Thames River daripada Wesminter Bridge sehingga ke Tower Bridge.

19 Jun (Jumaat) : Kami melawat Madame Thussaud's. Dapat lihat patung lilin para pelakon dan penyanyi hollywood dan bollywood, ahli politik, ahli sukan, ahli sains dll. Selepas itu, kami bersolat Jumaat di Regent's Park Mosque. Kemudian jalan-jalan di Oxford Street, Hyde Park dan Regent's Park. Kami dapat menikmati keindahan bunga-bunga ros pelbagai warna dan rupa. SubhanAllah.

20 Jun (Sabtu) : Melawat St. James Park dan Buckingham Palace. Masa berlalu sangat pantas dan hari ini abah, mama, yah dan adik berangkat pulang ke tanah air. Aku tak dapat menahan sebak dan air mata sewaktu mengiringi kepulangan mereka semua di Heathrow Airport.

21 Jun (Ahad) : Walaupun terasa sunyi tanpa abah, mama, yah dan adik, kami harus meneruskan kehidupan. Hari ini kami ke rumah Razin dan Nafisah dan bermalam di sana. Pada sebelah petang kami sempat ziarah ke rumah En. Zahar dan Kak Ani (pegawai MARA)

22 Jun (Isnin) : Seperti yang telah dirancang, kami pergi ke HiCom Malaysia untuk membuat passport Uwais. Alhamdulillah, urusan passport Uwais dapat diselesaikan walaupun kami tiba agak lewat, lebih jam 12.00 tgh (kerana menjangkakan waktu urusan passport hingga ke petang). Pada sebelah malam kami bertolak pulang ke Sheffield dengan menaiki kereta api.

Apabila tiba di rumah lebih kurang jam 2.00 pagi hari Selasa 23 Jun, aku dapati ada bungkusan di atas katil bilikku. Rupanya ada surprise daripada abah, mama dan adik iparku. Mereka tinggalkan sekeping kad ucapan selamat tinggal dan juga hadiah buku Men Are From Mars, Women Are From Venus. Kebetulan aku memang teringin sangat nak membaca buku tersebut. Terima kasih Abah, mama, yah dan adik untuk kad dan hadiah buku tu. Tak lupa juga terima kasih kerana tolong bawakan ikan bilis, baju-baju untuk dijual, belikan buku-buku, baju-baju raya dan lain-lain. Moga kita akan dipertemukan lagi di tanah air nanti. Rindunya kat korang semua...

Kenangan di Edinburgh Castle, Scotland

"Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain." (Ar-Rahmaan: 10)