

Mukjizat lsra' dan Mi'raj juga mempunyai banyak rahsia. Antaranya ialah:
Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Isra' Mi'raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Kedua: Isra' Mi'raj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalam lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Isra' Mi'raj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, Rasul kita merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.
Sumber : Sirah Nabi Muhammad S.A.W.; Pengajaran dan Pedoman
Oleh: Dr. Mustafa as-Syibaie