Masjid Tempat Terbaik Didik Anak


ANAK adalah anugerah yang amat berharga daripada Allah kepada ibu bapa. Mereka adalah faktor termeterainya hubungan kasih mesra yang lebih intim di antara ibu dan bapa. Sebab itu Allah menjelaskan di dalam banyak ayat menerusi al-Quran yang menggambarkan kegembiraan ibu bapa apabila menimang cahaya mata.

Tanggungjawab pasangan selepas dikurniakan anak ialah memastikan mereka mendapat 'pentarbiyahan' dan pendidikan serta kasih sayang yang secukupnya. Mereka perlu memastikan anak dibesarkan melalui teknik pendidikan cara Islam yang sempurna supaya dia tidak menjadi 'fitnah' kepada ibu bapa seperti dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar" (Surah At Taghaabun - Ayat 15).

Sikap tidak mengambil berat terhadap usaha 'mentarbiyah' anak akan menyebabkan ibu bapa turut mendapat saham di atas segala tindak-tanduk anak mereka. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya ialah malaikat yang kasar, keras yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan " (Surah At Tahrim - Ayat-6). Kewajipan menjaga anak adalah jelas dan ibu bapa yang tidak menjelaskan hukum halal haram kepada anak akan dihukum oleh Allah.

Ada banyak hadis dan atsar daripada Nabi Muhammad SAW dan sahabat serta ahli tabi'in yang menjelaskan teknik mendidik anak. Antaranya, sabda Rasullulah: "Didiklah anak kamu bersolat bila mereka berumur tujuh tahun dan rotanlah mereka jika tidak bersolat bila sudah berumur 10 tahun." (Hadis >riwayat Ahmad, Abu Daud dll, sanadnya Hasan seperti dalam Misykatul Mosabih).

Prof Dr Muhamad Uqlah di dalam bukunya 'Pendidikan anak dalam Islam' menjelaskan bahawa masjid adalah sebaik-baik tempat untuk mendidik anak. Menurut ulama, anak yang diajar pergi ke masjid dibesarkan dengan rasa cinta kepada masjid. Semoga mereka tergolong daripada kalangan insan yang diletakkan di bawah naungan Allah bersama enam jenis manusia seperti yang disebut di dalam satu hadis sahih. Ibu bapa soleh berharap anak mereka mendekati masjid supaya mereka cintakan ibadat solat dan saudara Islam serta sentiasa berada di rumah Allah.

Ada beberapa hadis khusus yang menyebut mengenai kanak-kanak dan masjid sebagai satu ajaran yang berkehendakkan kesejahteraan dan kebaikan umatnya dari dunia hingga akhirat. Beberapa hadis menghuraikan garis panduan dalam perkara ini, termasuk:

1) Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Nasa'ei: Nabi Muhammad tidak bangkit daripada sujudnya ketika mengimamkan solat di masjid apabila baginda ditunggang oleh cucunya. Sahabat menyangka bahawa baginda telah wafat ketika melakukan sujud itu;

2) Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih: Rasullullah bersabda apabila ditanya mengapa baginda mempercepatkan solatnya? Baginda menjawab, "Aku terdengar tangisan seorang bayi. Aku rasa ibunya sedang bersolat dengan kita. Jadi aku mempercepatkan solat itu supaya ibunya dapat memenuhi keperluan anak itu", dan;

3) Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim: Nabi Muhammad mendukung dan meletakkan cucu baginda yang bernama Umamah Abi Al-Ash di dalam solat berjemaah bersama sahabat. Mengenai satu hadis yang bermaksud: "Jauhilah anak kamu dan orang gila dari masjid", ulama hadis seperti Ibnul Jauzi, Al Munziri, Al Busairi, AlHaitami dan Al Hafiz Ibnu Hajjar Al Asqalani bersepakat mengatakan bahawa hadis berkenaan adalah hadis dhaif yang tidak boleh dijadikan hujah. Manakala Abdul Haq Al Isybili mengatakan hadis berkenaan 'moudhu'.

Perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar oleh As Shaukani di dalam >'Al Moqosid Al Hasanah'. Nasirudin Al Albani menjelaskan di dalam bukunya bertajuk 'Sifat Solatin Nabi dan Al Ajwibah An Nafiah' iaitu menjauhkan anak dari masjid dengan alasan menjaga kesuciannya adalah bidaah. Ini bertentangan dengan sunah Nabi yang mana baginda amat mengasihi dan menyayangi anak malahan kita mengetahui bagaimana baginda bermain atau bermesra dengan mereka ketika di masjid dalam hadis lain.

Dari sini jelas kepada kita bahawa larangan membawa anak ke masjid adalah pendapat yang lemah, malah sesuatu yang bathil dan bertentangan dengan 'Hikmah Tasyri' yang inginkan kita supaya melatih anak pergi ke masjid untuk bersolat dan mendapat ilmu daripada penceramah selain daripada memperoleh kawan yang baik.

Harus bagi kanak-kanak untuk berada di dalam saf, tidak kira di saf pertama, kedua atau sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan seandainya kita meletakkan mereka dengan golongan dewasa sekalipun mereka belum berkhatan. Perkara ini adalah pendapat yang mu'tabar dalam Mazhab Syafi'iyah seperti yang dijelaskan oleh Prof Dr Wabbah Az Zuhaili di dalam Al Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu (jilid 1 halaman 576). Menurutnya, najis yang ada pada kemaluan kanak-kanak di dalam keadaan tidak berkhatan adalah najis yang tidak kelihatan yang berlainan daripada tahi, darah dan najis lain yang kelihatan.

Sebagai dalil, Nabi Muhamad telah meletakkan Abdullah Abbas di sebelahnya di dalam solat berjemaah dan baginda tidak pernah menempelak, menghalau dan menengking anak yang sudah sedia berada di dalam saf, seperti yang kerap berlaku di sesetengah masjid di negara ini. Lebih menyedihkan lagi ialah sesetengah jemaah (orang dewasa) mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan di dalam satu saf berlainan. Apa yang pasti ialah Rasulullah sendiri menggalakkan anak mereka berada bersama ibu bapa atau penjaga supaya mereka tidak mengganggu solat.

Perkara itu disebutkan dengan jelas oleh Ulama' Hadis seperti Al Manawi di dalam Faidhil Qadir dan Az Zailaghi di dalam Nasbur Rayah (jilid 2 >halaman 491). Justeru, pendapat yang mengatakan solat menjadi batal jika disebabkan kehadiran anak yang belum berkhatan di dalam saf adalah pendapat yang keterlaluan malah bathil (La Asla Lahu) seperti yang diperjelaskan oleh ulama hadis dan ramai ulama fiqh daripada kalangan Fugaha terkenal. Pendapat yang mengatakan solat batal disebabkan oleh perkara itu seperti yang dikatakan oleh ulama daripada kalangan Hanafiyah dalam "raddul muhtar" tertolak kerana bertentangan dengan hadis sahih.

Kita perlu mencerna satu kefahaman yang lebih jelas dalam konteks pengertian berdasarkan al-Quran dan hadis. Jangan kita berterusan mengikut hawa nafsu dan keangkuhan dalam mempertahankan pendapat yang kita ikuti selama ini. Sudah sampai masanya kita menerima pendapat berdasarkan dalil. Dalam 'Ilmu Tasyri' iaitu Al Imam As Syafie pernah menyebut "Kalau sahih hadis itu maka itulah mazhabku. Kalau ada pendapatku yang bertentangan dengan al-Quran dan As Sunnah yang sahih, buanglah pendapatku itu. Mungkin ada yang tidak kuketahui".

Sifat rendah diri yang pada seorang ilmuan agung seperti Al Imam As Syafie yang sanggup menerima kenyataan dan mengakui kesilapan yang dilakukannya wajar dicontohi. Renungi firman Allah bermaksud: "Katakanlah Apakah di antara sekutumu ada yang menunjukkan kebenaran? Katakanlah: Allah yang menunjukkan kebenaran." Maka, apakah orang yang menunjukkan kebenaran lebih berhak diikuti atau orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat >demikian?) Bagaimanakah kamu mengambil keputusan" (Surah Yunus - Ayat >35).

Masalah umat Islam hari ini ialah kegagalan mereka menuruti Islam walaupun sudah diberi penjelasan dan penerangan mengenainya secara jelas. Ketidakprihatinan terhadap segala perkara kebenaran lantaran tidak mahu hilang kedudukan adalah satu sikap buruk yang harus dikikis. Pendapat seorang yang bertaraf guru agama, ulama atau seorang imam boleh diterima pakai tetapi untuk menerima pakai secara menyeluruh sehingga membelakangkan hadis atau menganggap bahawa pendapat mereka sama dengan hadis, maka ia amat bertentangan dengan garis panduan yang sudah dibuat oleh ulama usul.

Selepas faham mengenai tuntutan melatih anak ke arah kebaikan yang mana antaranya membawa mereka ke masjid, kita perlu mengambil berat soal berikut, iaitu:

1) Didik anak menghormati masjid sebagai tempat beribadat. Tidak boleh bising, membawa najis dan kekotoran;

2) Letakkan mereka di dalam saf (berselang-seli) bersama orang dewasa supaya kita dapat mengawasi mereka daripada menimbulkan masalah;

3) Menegur anak dengan baik dan jujur jika mereka melakukan kesilapan. Kejadian seorang Arab Badwi kencing di dalam masjid yang mana Rasulullah tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya menunjukkan betapa baginda tidak melakukan sesuatu perkara mengikut nafsu. Apa yang lebih penting dan patut dijadikan ikhtibar di dalam perkara ini ialah Rasulullah tidak bertindak secara terburu-buru, malah menggunakan diplomasi menangani masaalah itu;

4) Bina keyakinan diri anak dengan melatih mereka supaya bersama orang dewasa di dalam saf. Ini dapat menarik minat mereka untuk bersama-sama ketika membuat pelbagai kegiatan di masjid;

5) Sediakan infrastruktur yang bersesuaian dengan saiz mereka seperti tempat berwuduk yang selesa;

6) Sediakan perpustakaan supaya ia dapat menarik minat mereka membaca buku berkaitan dengan unsur Islam;

7) Adakan program seperti kem motivasi, qiamulail, sukan dan kegiatan berfaedah supaya dapat menarik minat mereka datang ke masjid.

8) Memberi mereka tugas ringan supaya mereka dapat melatih diri ke arah tanggungjawab dan komitmen seperti mengemas sejadah, membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah dan tugas lain yang ringan, bersesuaian dengan konsep yang ingin diterapkan.

Jika nilai murni dapat diterapkan ke dalam diri anak ketika mereka berada di masjid, secara tidak langsung mereka juga menjadi penyeri dan pengimarah rumah Allah. Pengisian nilai murni di kalangan anak ketika mereka berada di masjid adalah satu proses permulaan untuk mengekang keutuhan dan perpaduan ummah di negara ini.

sumber : blog

No comments: