Menanti Permata Hati Ketiga


Pada minggu ke-27, bayi sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas (cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini baru terbentuk. Ia sudah boleh bertindak balas kepada rasa manis, masam dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini ibu amat digalakkan memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba dengan baik.

Alhamdulillah, sekarang usia kandunganku yang ketiga sudah lebih 27 minggu. Sungguh cepat masa berlalu. Hanya tinggal lebih kurang 12 minggu sahaja sebelum tarikh jangkaan bersalin aku pada 27 Ogos nanti.

Pengalaman mengandung kali ketiga ni agak berbeza dengan dua anak lelaki sebelum ni. Kali ni aku alami alahan yang agak teruk dan lama. Alah pada bau masakan hingga tak boleh memasak dan hilang selera makan hingga perut asyik masuk angin dan muntah-muntah. Alahan aku berlarutan hinggalah ke bulan kelima. Selepas itu dah makin berkurang alahan. Tapi adakalanya masih ada juga rasa pening dan nak muntah pada waktu pagi walaupun sekarang dah hampir tujuh bulan usia kandunganku.

Bila aku alami alahan yang berbeza dan lebih teruk kali ni, ramai kawan yang meneka-neka mungkin kali ni bayi perempuan. Aku sendiri memang teringin juga nak anak perempuan memandangkan dah ada dua anak lelaki dan aku pun anak perempuan tunggal.

Alhamdulillah, semasa scan 20 minggu, aku dimaklumkan yang bayi dalam kandunganku insyaAllah perempuan. Syukur dan gembira dengan kurnianNya. Sekarang aku pun dah mula membeli baju bayi perempuan di jualan car boot di sini. Geram sangat tengok baju-baju bayi perempuan yang cantik, warna-warni, murah dan masih elok walaupun dah terpakai.


Gambar Scan 12 minggu lebih


Gambar scan 19 minggu lebih



InsyaAllah, aku merancang untuk bersalin di Malaysia kali ni. Harapnya suamiku dapat menyiapkan pengajiannya secepat mungkin. Aku dah tak sabar dan rindu sangat nak balik ke tanah air. Moga urusan kami untuk balik dan bersalin anak ketigaku nanti akan dipermudahkan Allah. Ameen..


Umar dan Sekolah di Sheffield

Setelah berbulan blog ni tak de cerita, hari ni baru tergerak hati juga nak menulis. Nak cerita tentang Umar dan sekolahnya. Sejak berusia 3 tahun bermula September 2009 hingga Disember 2010 Umar telah masuk ke nurseri atau FS1 (Foundation Stage 1) di Broomhall Nursery & Children Centre di Sheffield. Sepanjang di nurseri ini Umar belajar secara tak formal sambil bermain. Dia juga belajar bersosial dengan kawan-kawan yang datang dari pelbagai latarbelakang dan negara. Bermula di nurseri ini lah Umar belajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Umar ade ramai kawan dan sangat 'enjoy' sepanjang berada di nurseri tersebut. Di bawah ni adalah gambar kenangan Umar bersama rakan dan cikgu nurseri dan juga beberapa hasil kerja kreatif yang telah Umar hasilkan.




Bersama cikgu dan rakan sekelas



Bersama cikgu dan rakan sekelasnya Fatini yang juga dari Malaysia



Bersama cikgu Dennis yang memantau perkembangan Umar di nurseri



Hasil kerja kreatif Umar di nurseri


Bermula 6 Januari 2011, Umar telah masuk ke sekolah baru untuk peringkat Reception atau FS2 (Foundation Stage 2) di Broomhill Infant Nursery. Alhamdulillah, sekolah baru Umar sangat dekat dengan rumah kami iaitu hanya lebih kurang 5 minit berjalan kaki. Di sekolah baru ni Umar mula belajar dengan lebih formal. Dia mula belajar membaca, menulis, mengira dan lain-lain lagi. Alhamdulillah, Umar sudah boleh membaca dalam bahasa Inggeris sekarang. Kami juga sedang berusaha agar Umar juga dapat menguasai kemahiran lain terutamanya bacaan Al-Quran dengan lebih cepat :)






Hasil kerja Umar di sekolah baru

Selamat Hari Lahir Ke-30 Buat Suamiku

Semalam 20 Januari 2011 genap sudah 30 tahun usia suamiku yang tercinta. Sungguh cepat masa berlalu dan kini usia kami sama-sama telah menginjak ke angka 3. Selamat hari ulangtahun kelahiran ku ucapkan. Moga usia yang telah berlalu dan masih berbaki diberkatiNya dan semoga abang bahagia di dunia dan akhirat. Tak lupa juga sentiasa ku doakan agar abang dapat menyiapkan PhD dengan jayanya. Amiin.


Abang potong kek beli siap je tahun ni sebab aku alahan dan tak larat nak buat kek



Hadiah jam tangan dan kad ucapan dari ku dan keluarga di Msia untuk abang

Berita Suka dan Duka Pada Tarikh Yang Sama

Pada Jumaat 17 Disember yang lalu kami sekeluarga menerima dua perkhabaran dari tanah air. Pertama ialah khabar gembira dan kesyukuran kerana adik iparku telah selamat diijabkabulkan dan sah bergelar seorang isteri. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkaNya walaupun kami sekeluarga merasa agak sedih kerana tidak dapat turut serta meraikan hari bahagia mereka. Kami doakan agar rumahtangga yang dibina sentiasa dalam rahmatNya dan kekal bahagia hingga ke Syurga :)


Pada sebelah malam 17 Disember (waktu UK), kami dikejutkan pula dengan berita pemergian adinda Mas Afzal Masarudin pada jam lebih kurang 2 pagi 18 Dis (waktu Msia). Innalillahiwainnailaihirajiun. Kami rasa seolah-olah tidak percaya dengan khabar tersebut walaupun air mata sudah tidak dapat ditahan lagi daripada mengalir. Aku pernah menulis entry berkenaan kepulangan Mas ke tanah air di SINI. Adakala kami masih terbayangkan sewaktu Mas masih di Sheffield dahulu, dia kerap ke rumah kami. Di rumah kami ini banyak kenangan bersamanya. Walaupun sedih dan rasa kehilangan, kami tetap merasa syukur kerana mendapat peluang mengenali arwah semasa hayatnya dan akhirnya penderitaannya melawan sakit kanser telah berakhir. InsyaAllah atas kebaikannya semasa dia hidup di dunia ini menyebabkan dia disayangi oleh orang lain dan juga yang Maha Penyayang. Moga dia ditempatkan di kalangan para solihin dan moga kami dapat bertemu dan bersamanya di sana kelak. Amiin.

Kenangan bersama arwah sebelum dia pulang ke Malaysia