Showing posts with label Cerita Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Cerita Kehidupan. Show all posts

Alhamdulillah, Tahniah Dr ASAR

Alhamdulillah, pada 12 Sept yang lalu suamiku telah lulus viva PhDnya. Alhamdulillah, perjuangan suamiku selama hampir 4 tahun untuk menyiapkan PhDnya berakhir dengan kejayaan. Viva Phd selama 4 jam yang dilaluinya dipermudahkan Allah berkat doa ahli keluarga dan semua kenalan kami. Buat masa ini suamiku masih menyiapkan pembetulan tesisnya dan kami merancang untuk pulang ke tanah air pada 8 Oktober nanti. Semoga urusan kami untuk kembali ke tanah air dipermudahkanNya :)

Tesis PhD

Bersama penyelia projek dan pemeriksa viva

Kelahiran Puteriku Hafsah Ulfah

Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini telah memberikan kenangan manis buat kami sekeluarga dengan kelahiran cahaya mata ketiga dan puteri sulung kami pada jam 5.48 pagi 23 Ramadhan 1432 H bersamaan 23 Ogos 2011. Puteriku lahir awal lima hari dari tarikh jangkaan iaitu 27 Ogos 2011.

Alhamdulillah, sebelum bersalin aku dapat juga berpuasa selama 18 hari walaupun dalam keadaan sarat mengandung dan tempoh puasa yang panjang lebih kurang 17 jam di UK ni. Dua hari sebelum bersalin iaitu pada Ahad 21 Ogos, aku masih sempat pergi ke jualan carboot untuk membeli barangan bayi. Esoknya Isnin 22 Ogos merupakan hari ulangtahun perkahwinan aku dan suami yang ke-6. Sejak waktu sahur pada hari Isnin tersebut aku dah mula rasa senak perut. Aku sangkakan cuma sakit angin disebabkan aku berpuasa. Jadi aku pun tak berpuasa pada hari tersebut dengan harapan agar sakit akan berkurangan. Namun selepas dah buang air sakitnya tetap ada dan disertai dengan 'braxton hick' seperti contraction nak bersalin. Cuma sakitnya tidak kerap dan sela masanya tidak tetap. Aku fikir masih belum sampai masa nak bersalin sebab awal lima hari dari tarikh jangkaan. Pada pagi tersebut aku sempat lagi membuat biskut cornflakes untuk hari raya. Kemudian pada jam 4.00 petang hari tersebut barulah aku mula rasakan betul-betul contraction nak bersalin dan semakin kerap setiap 15 minit. Lalu aku pun telefon ke bahagian kecemasan hospital bersalin. Aku diminta tunggu sehingga contraction setiap 5 minit. Sebenarnya aku bercadang untuk masak istimewa iaitu nasi kerabu buat berbuka puasa sempena hari ulangtahun perkahwinan kami. Namun, disebabkan aku dah sakit nak bersalin, maka tak jadilah nasi kerabu dan kami berbuka dengan makanan yang ada sahaja.

Contraction aku kali ni agak berbeza daripada dua anakku yang lepas. Daripada jam 4.00 petang Isnin hingga jam 1.00 pagi Selasa esoknya, kekerapan contraction berubah-ubah sekejap 15 minit sekejap 30 minit. Aku pun tak tahu apa sebabnya. Selepas jam 1.00 pagi Selasa tu barulah contraction kembali tetap setiap 15 minit dan selepas jam 3.00 pagi contraction terus jadi 10minit. Selepas suamiku bersahur, lebih kurang jam 3.30 pagi aku pun telefon semula ke hospital bila contraction dah kerap 5 minit. Kemudian kami pun bergegas ke hospital selepas hantar anak-anak ke rumah jiran sebelah. Mujurlah hospital bersalin tak jauh dari rumah kami. Kami tiba di hospital lebih kurang jam 4.00 pagi. Selepas itu aku kena menunggu agak lama juga di bilik pemeriksaan awal. Mungkin kerana pada hari tersebut ramai orang bersalin. Lebih kurang jam 5.00 pagi barulah midwife datang. Masa tu aku dah rasa sakit yang kuat tapi masih boleh bertahan lagi. Selepas tu aku gunakan bantuan gas untuk kurangkan rasa sakit. Alhamdulillah, kali ni aku dapat rasakan kesan gas tersebut dan membantu kurangkan rasa sakit. Kemudian bila midwife check tak sangka bukaan servik aku dah 9 cm dan aku pun terus dimasukkan ke wad bersalin. Alhamdulillah, di wad bersalin aku dibantu oleh midwife yang baik dan berpengalaman. Bila midwife tersebut check bukaan servik aku lagi sekali dah sampai 10 cm. Lepas tu dia suruh aku meneran bila dah rasa nak meneran. Alhamdulillah, proses kelahiran kali ni cepat dan mudah. Selepas beberapa kali meneran selamatlah puteriku lahir ke dunia tepat jam 5.48 pagi. Kali ni juga aku tak kena jahitan apa-apa. Cuma sewaktu uri aku dikeluarkan ada bahagian mambran yang tercerai dan midwife tersebut dah cuba keluarkan semuanya. Dia dah pesan jika ada yang keluar lagi lepas ni kena maklumkan pada midwife. Alhamdulillah, puteriku lahir dalam keadaan sempurna dengan berat 3.19 kg. Selepas itu, kira-kira jam 9.00 pagi baru aku dipindahkan ke wad biasa dan selepas pemeriksaan aku dan bayi semuanya normal, kami pun dibenarkan pulang ke rumah pada jam 8.00 malam hari yang sama.

Selepas lahir

Semuanya baik selepas aku pulang ke rumah. Cuma, selepas lima hari bersalin aku kena pergi semula ke hospital kerana masih ada baki mambran uri yang tertinggal dalam rahimku dan dah ade sedikit jangkitan. Alhamdulillah, aku sedar mambran tersebut keluar selepas aku berurut. Semasa di hospital, doktor telah keluarkan semua baki mambran yang tertinggal dan aku kena makan antibiotik selama lima hari. Alhamdulillah, selepas itu aku semakin sihat semula.

Pada hari ke-7 iaitu sehari sebelum Aidilfitri, kami telah adakan majlis kecilan sempena mencukur rambut dan memberi nama puteri kami. InsyaAllah nama yang diberi ialah Hafsah Ulfah. Hafsah sempena nama isteri Rasulullah s.a.w dan puteri kepada Saidina Umar Al-Khattab manakala Ulfah bererti kemesraan, keramahan, persahabatan dan kasih sayang. Mudahan puteriku Hafsah Ulfah akan membesar menjadi anak yang solehah dan bertaqwa.

Selepas cukur rambut

Alhamdulillah, sepanjang dua minggu pertama selepas aku bersalin, komuniti Malaysia di sini telah membuat jadual masak. Jadi setiap hari ada sahabat yang akan datang menghantar makanan dan menziarah kami. Terima kasih diucapkan kepada semua.

Aidilfitri kami tahun ini juga lebih berseri dengan kehadiran puteri baru. Walaupun aku tidak boleh keluar beraya kerana masih dalam pantang, ramai sahabat yang datang menziarahi kami. Sekarang sudah lebih tiga minggu berlalu selepas aku bersalin. Aku pun rasa semakin sihat dan anakku juga semakin membesar sihat dengan susu ibu yang cukup. Alhamdulillah :)

Berusia tiga minggu

Menanti Permata Hati Ketiga


Pada minggu ke-27, bayi sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas (cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini baru terbentuk. Ia sudah boleh bertindak balas kepada rasa manis, masam dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini ibu amat digalakkan memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba dengan baik.

Alhamdulillah, sekarang usia kandunganku yang ketiga sudah lebih 27 minggu. Sungguh cepat masa berlalu. Hanya tinggal lebih kurang 12 minggu sahaja sebelum tarikh jangkaan bersalin aku pada 27 Ogos nanti.

Pengalaman mengandung kali ketiga ni agak berbeza dengan dua anak lelaki sebelum ni. Kali ni aku alami alahan yang agak teruk dan lama. Alah pada bau masakan hingga tak boleh memasak dan hilang selera makan hingga perut asyik masuk angin dan muntah-muntah. Alahan aku berlarutan hinggalah ke bulan kelima. Selepas itu dah makin berkurang alahan. Tapi adakalanya masih ada juga rasa pening dan nak muntah pada waktu pagi walaupun sekarang dah hampir tujuh bulan usia kandunganku.

Bila aku alami alahan yang berbeza dan lebih teruk kali ni, ramai kawan yang meneka-neka mungkin kali ni bayi perempuan. Aku sendiri memang teringin juga nak anak perempuan memandangkan dah ada dua anak lelaki dan aku pun anak perempuan tunggal.

Alhamdulillah, semasa scan 20 minggu, aku dimaklumkan yang bayi dalam kandunganku insyaAllah perempuan. Syukur dan gembira dengan kurnianNya. Sekarang aku pun dah mula membeli baju bayi perempuan di jualan car boot di sini. Geram sangat tengok baju-baju bayi perempuan yang cantik, warna-warni, murah dan masih elok walaupun dah terpakai.


Gambar Scan 12 minggu lebih


Gambar scan 19 minggu lebih



InsyaAllah, aku merancang untuk bersalin di Malaysia kali ni. Harapnya suamiku dapat menyiapkan pengajiannya secepat mungkin. Aku dah tak sabar dan rindu sangat nak balik ke tanah air. Moga urusan kami untuk balik dan bersalin anak ketigaku nanti akan dipermudahkan Allah. Ameen..


Umar dan Sekolah di Sheffield

Setelah berbulan blog ni tak de cerita, hari ni baru tergerak hati juga nak menulis. Nak cerita tentang Umar dan sekolahnya. Sejak berusia 3 tahun bermula September 2009 hingga Disember 2010 Umar telah masuk ke nurseri atau FS1 (Foundation Stage 1) di Broomhall Nursery & Children Centre di Sheffield. Sepanjang di nurseri ini Umar belajar secara tak formal sambil bermain. Dia juga belajar bersosial dengan kawan-kawan yang datang dari pelbagai latarbelakang dan negara. Bermula di nurseri ini lah Umar belajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Umar ade ramai kawan dan sangat 'enjoy' sepanjang berada di nurseri tersebut. Di bawah ni adalah gambar kenangan Umar bersama rakan dan cikgu nurseri dan juga beberapa hasil kerja kreatif yang telah Umar hasilkan.




Bersama cikgu dan rakan sekelas



Bersama cikgu dan rakan sekelasnya Fatini yang juga dari Malaysia



Bersama cikgu Dennis yang memantau perkembangan Umar di nurseri



Hasil kerja kreatif Umar di nurseri


Bermula 6 Januari 2011, Umar telah masuk ke sekolah baru untuk peringkat Reception atau FS2 (Foundation Stage 2) di Broomhill Infant Nursery. Alhamdulillah, sekolah baru Umar sangat dekat dengan rumah kami iaitu hanya lebih kurang 5 minit berjalan kaki. Di sekolah baru ni Umar mula belajar dengan lebih formal. Dia mula belajar membaca, menulis, mengira dan lain-lain lagi. Alhamdulillah, Umar sudah boleh membaca dalam bahasa Inggeris sekarang. Kami juga sedang berusaha agar Umar juga dapat menguasai kemahiran lain terutamanya bacaan Al-Quran dengan lebih cepat :)






Hasil kerja Umar di sekolah baru

Berita Suka dan Duka Pada Tarikh Yang Sama

Pada Jumaat 17 Disember yang lalu kami sekeluarga menerima dua perkhabaran dari tanah air. Pertama ialah khabar gembira dan kesyukuran kerana adik iparku telah selamat diijabkabulkan dan sah bergelar seorang isteri. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkaNya walaupun kami sekeluarga merasa agak sedih kerana tidak dapat turut serta meraikan hari bahagia mereka. Kami doakan agar rumahtangga yang dibina sentiasa dalam rahmatNya dan kekal bahagia hingga ke Syurga :)


Pada sebelah malam 17 Disember (waktu UK), kami dikejutkan pula dengan berita pemergian adinda Mas Afzal Masarudin pada jam lebih kurang 2 pagi 18 Dis (waktu Msia). Innalillahiwainnailaihirajiun. Kami rasa seolah-olah tidak percaya dengan khabar tersebut walaupun air mata sudah tidak dapat ditahan lagi daripada mengalir. Aku pernah menulis entry berkenaan kepulangan Mas ke tanah air di SINI. Adakala kami masih terbayangkan sewaktu Mas masih di Sheffield dahulu, dia kerap ke rumah kami. Di rumah kami ini banyak kenangan bersamanya. Walaupun sedih dan rasa kehilangan, kami tetap merasa syukur kerana mendapat peluang mengenali arwah semasa hayatnya dan akhirnya penderitaannya melawan sakit kanser telah berakhir. InsyaAllah atas kebaikannya semasa dia hidup di dunia ini menyebabkan dia disayangi oleh orang lain dan juga yang Maha Penyayang. Moga dia ditempatkan di kalangan para solihin dan moga kami dapat bertemu dan bersamanya di sana kelak. Amiin.

Kenangan bersama arwah sebelum dia pulang ke Malaysia

Musim Salji

Salji di tepi rumah

Jalan di hadapan rumah

Main salji di tepi rumah

Abah dan anak-anak buat snowman

Ibu dan anak-anak

Musim salji tiba lagi di UK. Kali ini salji mula turun seawal 27 November lagi. Antara waktu terawal yang dicatatkan dalam rekod di UK dalam tempoh 17 tahun. Keadaan di UK pada awal Disember yang lalu agak kelam kabut dengan hujanan salji yang sangat lebat sehingga ke paras lutut menyebabkan semua sekolah ditutup, pengangkutan awam terjejas dan bekalan makanan berkurangan. Suhu yang dicatatkan juga sangat rendah sehingga lebih rendah daripada -10 celsius di sesetengah tempat. Kini, walaupun salji sudah berhenti turun sejak semalam, kesan jalanraya yang menjadi licin kerana salji membeku menjadikan sangat bahaya kepada kenderaan dan pejalan kaki.

Bagi kami sekeluarga, musim salji ini merupakan yang terakhir sebelum kami pulang ke tanah air. Jadi kami tak lepaskan peluang juga untuk mengabadikan kenangan bermain salji terutamanya bagi kedua anak-anakku. Uwais lah yang paling teruja sebab pertama kali dapat pegang salji sampaikan tak nak berhenti walaupun tangan dah sejuk sangat. Alhamdulillah kami berpeluang merasa musim salji semasa di UK ni dan melihat sendiri keindahan ciptaanNya. SubhanAllah :)

Aidiladha kali ke-4 di Perantauan

Pada hari Selasa 16 November yang lalu kami di UK menyambut Aidiladha, sehari lebih awal dari Malaysia. Pada malam Aidiladha kami berkumpul untuk bertakbir di rumah seorang kawan di sini. Terasa juga la suasana raya bila berkumpul dan bertakbir ramai-ramai.
Takbir malam raya

Keesokannya pada pagi raya, kami komuniti Malaysia di sini seperti biasa bersolat raya dan jamuan di PMC. Sebelum ke PMC aku cuma sempat masak nasi lemak 1 kg sebagai menu yang telah dibahagikan untuk dibawa ke PMC mengikut kariah. Itu pun sampai kena kukus atas dapur 2 kali lepas masak dalam rice cooker sebab nasi kurang masak. Agaknya sebab aku guna beras baru yang ade campuran sikit. Kelam kabut juga aku 3 beranak berkejar ke PMC naik teksi. Suami aku terus ke sana dari tempat kerja dia. Terpaksa la kami naik teksi sebab kereta Fiat Brava yang baru 5 bulan kami beli dah rosak (timing belt putus pada 24 Oktober lepas) dan telah di hantar ke scrapyard. Tiba je di PMC orang dah solat rakaat kedua. Mujur sempat juga aku solat jemaah sekali.
Lepas solat dan khutbah, kami berjamuan dan sembang-sembang ukhuwwah dengan rakan-rakan. Lepas tu, kami naik tram balik ke city centre dan terus ke open house rumah kak Lina. Pada sebelah malam kami jemput adik UG Hairul dan familinya yang datang dari Malaysia untuk konvokensyen di Sheffield Hallam Uni. Itulah cerita raya aidiladha kami diperantaun untuk kali yang ke-4. Harapnye ini raya yang terakhir kami di sini. Tak sabar dah nak beraya dengan saudara-mara di tanah air :)



“Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati”. (at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Our Last Autumn in UK

Ketika ini di UK sudah berada di hujung musim luruh dan mula masuk ke musim dingin. Suhu semakin rendah dan waktu siang semakin pendek. Cepat sungguh masa berlalu. Rasa macam baru je masuk musim panas beberapa bulan lepas. Sekarang dah sejuk balik. Macam ni la cuaca di UK. Kalau ikutkan musim luruh kali ni adalah kali ke-4 yang kami lalui sejak tiba di UK pada musim luruh 2007. Tapi musim luruh kali ni rasa berbeza kerana kemungkinan besar yang terakhir kami nikmati sebelum balik ke tanah air awal tahun depan. Jadi bila nampak je daun pokok yang mula kekuningan dan luruh rasa teruja dan semua nak dirakam dengan lensa kamera. Kalau autumn sebelum-sebelum ni tak peduli langsung bila daun mula kuning dan lepas tu tak sedar tengok pokok dah tinggal ranting. Alhamdulillah kami sempat juga merakam suasana musim luruh di sekitar Sheffield :)





Pokok berdaun merah di Botanical Garden


Air pancut di Botanical Garden

Pokok Maple di Botanical Garden

Weston Park

Broomhall Road

Rimbunan Kasih


Alhamdulilah, semalam diadakan majlis makan-makan bersama-sama dengan anak-anak angkat di bawah program 'rimbunan kasih' anjuran PMPMS dan SMSA dirumah kami. Sepanjang berada 3 tahun disini, kami dikurniakan 10 orang anak angkat bersama dengan seorang menantu yang 'terangkat'. 10 orang yang dimaksudkan termasuk 4 orang anak angkat baru. Majlis berjalan di rumah kami dengan seisi berkenalan antara satu sama lain. Ia sejajar dengan firman Allah dalam surah Al Hujarat ayat ke 13 yang bermaksud:

"Wahai umat manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (tentang keadaan dan amalan kamu)."

Secara kasarnya, ayat tersebut menunjukkan cantiknya Islam dengan menekankan aspek bersosial di dalam masyarakat (berkenalan dan beramah mesra). Ditekankan sewaktu bersosial ada garis panduan yang perlu kita taat dan tinggalkan (Taqwa).

Selaku keluarga angkat, kami umpamakan adik-adik yang baru seumpama golongan Muhajirih dan kami dan abang-abang dan kakak-kakak lama seumpama golongan Ansar yang mana peristiwa berlaku sewaktu baginda nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bukan setakat pembelaan ke atas material sahaja, malah pembelaan ke atas akidah Islam perlu kami jagakan. Ia bertepatan dengan ayat di dalam Surah Al-Anfal ayat ke 72 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia."

Saranan kami sebagai keluarga angkat, supaya jangan di abaikan tanggungjawab menuntut ilmu sebab ia merupakan kewajipan ke atas kamu sekalian. Dalam masa yang sama, perkukuhkan ilmu-ilmu asas fardhu ain, permolekkan bacaan al-Quran dan perbaiki solat harian. Istiqamah dengan usrah anjuran SMSA yang kami yakin para nuqaba'nya telah di'bengkel'kan bagi membuat persiapan.

Akhir kalam, 'nahnu nuhibukum fillah'....wassalam.

Cerita Aidilfitri 2010

Sudah agak lama blog ini tidak diupdate. Jadi sementara Syawal masih berbaki inilah entry tertunda 3 dalam 1 untuk cerita projek biskut raya, sambutan aidilfitri dan juga open house kami pada tahun ini.

Projek Biskut Raya

Pada mulanya aku bercadang nk beli je biskut raya seperti tahun sebelum ni. Bila tanya kat suami, dia suruh cuba buat. Kelam kabut jugak la beberapa hari lagi nak raya baru nak beli bahan dan cari resepi. Alhamdulillah menjadi juga tat nenas, biskut almond dan cornflakes. Untuk tat nenas aku buat bersama-sama dengan 2 lagi rakan iaitu Adeela dan Kak Lina bersama tunjuk ajar, panduan dan resepi daripada orang berpengalaman iaitu Kak Yati.

Bersama Kak Lina dan Adeela membuat tat nenas

Hasil tat nenas pertama

Untuk almond dan cornflakes aku cuba je resepi daripada laman web resepi yang terkenal Hanieliza. Alhamdulillah menjadi dan rasanye sedap :)

Biskut almond Sheffield & cornflakes madu

Sambutan Aidilfitri

Aidilfitri di Sheffield tahun ini jatuh pada Jumaat 10 Sept, sama dengan Msia. Seperti biasa kami orang-orang Malaysia di Sheffield bersolat sunat aidilfitri dan berjamuan raya di PMC. Pada hari raya pertama juga dah ade jemputan rumah terbuka dan begitulah hari-hari hujung minggu berikutnya. Ketika aku menulis entry ini baru saja selesai giliran rumah terbuka semua kariah di Sheffield. Kami sekeluarga telah pergi memenuhi semua undangan dan setiap rumah serta dewan yang kami kunjungi diabadikan dengan gambar kenangan kerana kemungkinan besar ini aidilfitri terakhir kami di Sheffield.

Solat sunat aidilfitri di PMC

Gambar keluarga
(kredit to Ise the DLSR photographer)

Rumah Terbuka Aidilfitri

Pada tahun ini kariah city mendapat giliran membuat rumah terbuka yang terawal. Jadi kami telah mengambil giliran pada Sabtu 18 Sept bermula jam 12.00 tgh hingga 10.00 malam. Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran rakan-rakan dari Sheffield dan juga Nottingham. Menu pada tahun ini ialah mihun dengan sup tulang, nasi putih lauk sayur salata, ayam masak serai dan sambal belacan serta mi kari pada sebelah malam. Menu sampingan pula ialah buah honeydew, puding jagung, kek coklat moist dan kek tiramisu. Terima kasih kepada Nina dan jiran kami Izyan yang datang membantu dan juga terima kasih kepada semua yang telah hadir :)

Menu-menu rumah terbuka kami

Bersama antara tetamu Sheffield yang hadir

Bersama tetamu jauh, Hafiz & Wani dari Notts

Semoga Kita Bertemu Lagi

Pada hari Jumaat 3 Ramadhan minggu lalu, hujan rahmat turun dibumi Sheffield bersama rasa hiba dan air mata yang tidak dapat dibendung apabila menyaksikan kak Zahrah dan abang Razlan sekeluarga bertolak pulang ke tanah air. Masih teringat ketika aku sekeluarga baru tiba di bumi Sheffield ini hampir 3 tahun lalu pada 30 September 2007, rumah Kak Zahrah lah yang pertama sekali kami jejak. Ketika itu bulan ramadhan juga dan kami yang keletihan berbelas jam diperjalanan dapat berbuka dengan nasi ayam yang enak masakan Kak Zahrah. Bermula hari itulah ukhuwwah yang terjalin kekal hingga ke hari ini dan selamanya InsyaAllah. Umar anakku juga berkawan baik dengan Alif anak kak Zahrah sebab jarak usia yang dekat. Rasa sedih bila Umar asyik kata nak main mainan yang baru dibeli kat carboot minggu lepas dengan Alif. Rupanya Umar ingat Alif hanya balik sekejap sahaja ke Malaysia. Sian Umar. InsyaAllah, harapnye kami akan bertemu lagi di tanah air kelak.
Bergambar kenangan sebelum Kak Zahrah bertolak ke airport Manchester

Umar dan Alif, moga dapat bertemu lagi bila dah besar nanti

Pokok Dan Bunga Dalam Rumah

Cerita mengenai pokok dan bunga yang ada dalam rumah aku di UK ni. Ada pokok hidup dan ada yang plastik serta lukisan. Pokok pangkalnya aku memang suka bunga tak kiralah yang hidup atau bukan.

Taman dalam rumah

Pokok yang hidup kat rumah aku ni ialah pokok kesum yang aku tanam dan dah berusia setahun. Pokok Kesum ni dah berkembang biak di Sheffield ni. Sekarang ni pun aku tengah biakkan lagi sebab musim panas ni ialah masa yang sesuai untuk tanam semula. Selain tu ada juga pokok bunga ros kuning dan bunga kuning (tak tahu namanya) yang diberi oleh orang. Aku rasa seronok dan tenang bila tengok pokok-pokok dan bunga ros yang mula berkembang.
Pokok bunga kuning (tak tahu namanya) pemberian Kak Lin Hull

Bunga ros kuning yang baru berkembang :)

Pokok kesum yang tumbuh meninggi sebab jarang dipetik

Selain tu, ada juga bunga yang bukan hidup seperti bunga kering, bunga plastik, kayu dan termasuklah gambar-gambar bunga yang aku suka beli di jualan car boot di UK ni.

Bunga hidup yang aku keringkan
(dibeli dengan harga semurah GBP 1.50 untuk 2 jambak di car boot)

Bunga plastik
(dibeli dengan harga semurah GBP 0.50 untuk 2 jambak di car boot
)

Bunga ros daripada kayu
(dibeli dengan harga GBP 0.10 sekuntum sewaktu jalan-jalan di pusat bandar Sheffield)

Gambar lukisan berharga GBP 0.50 dari car boot sales

Gambar lukisan berharga GBP 0.50 dari car boot sales

Kraf bunga unik yang dibentuk dari tin nipis berharga GBP 1.30 dari car boot sales

Gambar oil painting asli yang menarik hanya GBP 0.50 dari car boot sales

Akhir cerita, hargailah alam yang indah ciptaan Allah s.w.t. SubhanAllah :)