Hukum Solat Jumaat Sekiranya Raya Jatuh Pada Hari Jumaat.
Terdapat beberapa hadith marfu’ dan juga athar mauquf mengenai isu ini. Antaranya seperti berikut:
حديث زيد بن أرقم رضي الله عنه أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل). رواه أحمد وأبو داود والنسائي وابن ماجه والدارمي والحاكم في “المستدرك” وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وله شاهد على شرط مسلم. ووافقه الذهبي، وقال النووي في “المجموع”: إسناده جيد
Hadith Zaid bin Arqam RA sesungguhnya Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA bertanya kepadanya: “Adakah anda pernah menyaksikan bersama Rasulullah dua Eid dalam satu hari (Jumaat dan Eidul Fitri/Adha)?”. Jawabnya, “Ya.” Soal beliau lagi, “Apa yang Rasulullah lakukan?” “Baginda solat Eid dan mengambil rukhsah tidak menunaikan solat Jumaat, lalu berkata barang siapa yang ingin solat, maka solatlah.” – Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Nasai’e. Dikategorikan sahih mengikut syarat Imam Muslim, sementara di dalam al-Majmu’, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini mempunyai sanad jayyid.
وفي صحيح البخاري رحمه الله تعالى وموطأ الإمام مالك رحمه الله تعالى عن أبي عبيد مولى ابن أزهر قال أبو عبيد: شهدت العيدين مع عثمان بن عفان، وكان ذلك يوم الجمعة، فصلى قبل الخطبة ثم خطب، فقال: يا أيها الناس إن هذا يوم قد اجتمع لكم فيه عيدان، فمن أحب أن ينتظر الجمعة من أهل العوالي فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فقد أذنت له
Dalam sahih al-Bukhari dan Muwatta’ Imam Malik, daripada Abi Ubaid Maula bin Azhar, berkata Abu Ubaid, “Aku menyaksikan dua eid bersama Uthman bin Affan pada hari Jumaat, beliau solat (Eid) sebelum berkhutbah kemudian berkhutbah, katanya, “Wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah terhimpun dua eid, barang siapa yang ingin menunggu untuk solat Jumaat khususnya orang tempatan (ada yang menyatakan penduduk Timur Madinah) maka tunggulah sebentar, barang siapa yang ingin pulang maka aku benarkan.”
Terdapat khilaf ulamak di dalam isu ini, seperti berikut:
1. Mazhab Hanafi berpandangan yang umat Islam disunatkan solat Eid dan difardhukan solat Jumaat seperti biasa sekiranya raya jatuh pada hari Jumaat. Ini termaktub di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir karangan Imam Muhammad, dengan hujjah antara lain ialah solat sunat tidak menggugurkan solat fardhu.
2. Mazhab Shafie berpandangan bagi penduduk kampung yang tidak cukup bilangan makmum solat Jumaat, maka solat sunat Eid adalah memadai bagi mereka, dan tidak perlulah keluar ke masjid di tempat lain untuk menunaikan solat Jumaat. Tunaikan solat zohor sahaja. Ini berdasarkan hadtih Uthman bin Affan seperti di atas. Pendapat ini termaktub di dalam kitab al-Majmum Imam al-Nawawi.
3. Mazhab Hanbali pula berpandangan solat Eid menyebabkan berlakunya rukhsah untuk tidak solat Jumaat, sebaliknya perlu solat Zohor sahaja. Ini termaktub di dalam kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah. Akan tetapi, Imam masjid perlu mendirikan solat Jumaat di masjid bagi membolehkan muslim yang memilih untuk solat Jumaat, melakukan ibadah tersebut.
KESIMPULAN
Berdasarkan hadith dan juga pandangan ulamak seperti di atas, saya lebih cenderung untuk menyatakan, Allahua’lam:
1. Adalah lebih selamat untuk menunaikan solat Jumaat, kerana keluar dari khilaf adalah lebih utama.
2. Akan tetapi sekiranya ada halangan, seperti lokasi masjid tempat himpunan Jumaat jauh, atau waktu siang yang pendek, maka memadailah solat Eid sahaja, dan dituruti dengan solat Zohor. Ini rukhsah yang dibenarkan.
3. Bagi yang tidak menunaikan solat sunat Eid, maka tiada baginya rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat.
4. Imam wajib mendirikan solat Jumaat bagi meraikan pandangan dan pilihan makmum lain.
5. Walaupun ramai ulamak moden seperti Syeikh Atiyyah Saqar dan Sayyid Sabiq mentarjihkan pandangan mazhab Hanbali dengan menyatakan tidak perlu untuk solat Jumaat, akan tetapi adalah kurang tepat jika dikatakan solat Eid itu menggugurkan hukum wajib solat Jumaat. Ianya hanyalah rukhsah yang dibenarkan atas sebab tertentu.
Marhaban Ya Ramadhan
Hadith: Sikap Yang Baik
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.” Riwayat Muslim
i) Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.
ii) Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya.
iii) Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Sumber: Hadith Harian JAKIM
Masjid Tempat Terbaik Didik Anak

Tanggungjawab pasangan selepas dikurniakan anak ialah memastikan mereka mendapat 'pentarbiyahan' dan pendidikan serta kasih sayang yang secukupnya. Mereka perlu memastikan anak dibesarkan melalui teknik pendidikan cara Islam yang sempurna supaya dia tidak menjadi 'fitnah' kepada ibu bapa seperti dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar" (Surah At Taghaabun - Ayat 15).
Sikap tidak mengambil berat terhadap usaha 'mentarbiyah' anak akan menyebabkan ibu bapa turut mendapat saham di atas segala tindak-tanduk anak mereka. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya ialah malaikat yang kasar, keras yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan " (Surah At Tahrim - Ayat-6). Kewajipan menjaga anak adalah jelas dan ibu bapa yang tidak menjelaskan hukum halal haram kepada anak akan dihukum oleh Allah.
Ada banyak hadis dan atsar daripada Nabi Muhammad SAW dan sahabat serta ahli tabi'in yang menjelaskan teknik mendidik anak. Antaranya, sabda Rasullulah: "Didiklah anak kamu bersolat bila mereka berumur tujuh tahun dan rotanlah mereka jika tidak bersolat bila sudah berumur 10 tahun." (Hadis >riwayat Ahmad, Abu Daud dll, sanadnya Hasan seperti dalam Misykatul Mosabih).
Prof Dr Muhamad Uqlah di dalam bukunya 'Pendidikan anak dalam Islam' menjelaskan bahawa masjid adalah sebaik-baik tempat untuk mendidik anak. Menurut ulama, anak yang diajar pergi ke masjid dibesarkan dengan rasa cinta kepada masjid. Semoga mereka tergolong daripada kalangan insan yang diletakkan di bawah naungan Allah bersama enam jenis manusia seperti yang disebut di dalam satu hadis sahih. Ibu bapa soleh berharap anak mereka mendekati masjid supaya mereka cintakan ibadat solat dan saudara Islam serta sentiasa berada di rumah Allah.
Ada beberapa hadis khusus yang menyebut mengenai kanak-kanak dan masjid sebagai satu ajaran yang berkehendakkan kesejahteraan dan kebaikan umatnya dari dunia hingga akhirat. Beberapa hadis menghuraikan garis panduan dalam perkara ini, termasuk:
1) Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Nasa'ei: Nabi Muhammad tidak bangkit daripada sujudnya ketika mengimamkan solat di masjid apabila baginda ditunggang oleh cucunya. Sahabat menyangka bahawa baginda telah wafat ketika melakukan sujud itu;
2) Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih: Rasullullah bersabda apabila ditanya mengapa baginda mempercepatkan solatnya? Baginda menjawab, "Aku terdengar tangisan seorang bayi. Aku rasa ibunya sedang bersolat dengan kita. Jadi aku mempercepatkan solat itu supaya ibunya dapat memenuhi keperluan anak itu", dan;
3) Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim: Nabi Muhammad mendukung dan meletakkan cucu baginda yang bernama Umamah Abi Al-Ash di dalam solat berjemaah bersama sahabat. Mengenai satu hadis yang bermaksud: "Jauhilah anak kamu dan orang gila dari masjid", ulama hadis seperti Ibnul Jauzi, Al Munziri, Al Busairi, AlHaitami dan Al Hafiz Ibnu Hajjar Al Asqalani bersepakat mengatakan bahawa hadis berkenaan adalah hadis dhaif yang tidak boleh dijadikan hujah. Manakala Abdul Haq Al Isybili mengatakan hadis berkenaan 'moudhu'.
Perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar oleh As Shaukani di dalam >'Al Moqosid Al Hasanah'. Nasirudin Al Albani menjelaskan di dalam bukunya bertajuk 'Sifat Solatin Nabi dan Al Ajwibah An Nafiah' iaitu menjauhkan anak dari masjid dengan alasan menjaga kesuciannya adalah bidaah. Ini bertentangan dengan sunah Nabi yang mana baginda amat mengasihi dan menyayangi anak malahan kita mengetahui bagaimana baginda bermain atau bermesra dengan mereka ketika di masjid dalam hadis lain.
Dari sini jelas kepada kita bahawa larangan membawa anak ke masjid adalah pendapat yang lemah, malah sesuatu yang bathil dan bertentangan dengan 'Hikmah Tasyri' yang inginkan kita supaya melatih anak pergi ke masjid untuk bersolat dan mendapat ilmu daripada penceramah selain daripada memperoleh kawan yang baik.
Harus bagi kanak-kanak untuk berada di dalam saf, tidak kira di saf pertama, kedua atau sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan seandainya kita meletakkan mereka dengan golongan dewasa sekalipun mereka belum berkhatan. Perkara ini adalah pendapat yang mu'tabar dalam Mazhab Syafi'iyah seperti yang dijelaskan oleh Prof Dr Wabbah Az Zuhaili di dalam Al Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu (jilid 1 halaman 576). Menurutnya, najis yang ada pada kemaluan kanak-kanak di dalam keadaan tidak berkhatan adalah najis yang tidak kelihatan yang berlainan daripada tahi, darah dan najis lain yang kelihatan.
Sebagai dalil, Nabi Muhamad telah meletakkan Abdullah Abbas di sebelahnya di dalam solat berjemaah dan baginda tidak pernah menempelak, menghalau dan menengking anak yang sudah sedia berada di dalam saf, seperti yang kerap berlaku di sesetengah masjid di negara ini. Lebih menyedihkan lagi ialah sesetengah jemaah (orang dewasa) mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan di dalam satu saf berlainan. Apa yang pasti ialah Rasulullah sendiri menggalakkan anak mereka berada bersama ibu bapa atau penjaga supaya mereka tidak mengganggu solat.
Perkara itu disebutkan dengan jelas oleh Ulama' Hadis seperti Al Manawi di dalam Faidhil Qadir dan Az Zailaghi di dalam Nasbur Rayah (jilid 2 >halaman 491). Justeru, pendapat yang mengatakan solat menjadi batal jika disebabkan kehadiran anak yang belum berkhatan di dalam saf adalah pendapat yang keterlaluan malah bathil (La Asla Lahu) seperti yang diperjelaskan oleh ulama hadis dan ramai ulama fiqh daripada kalangan Fugaha terkenal. Pendapat yang mengatakan solat batal disebabkan oleh perkara itu seperti yang dikatakan oleh ulama daripada kalangan Hanafiyah dalam "raddul muhtar" tertolak kerana bertentangan dengan hadis sahih.
Kita perlu mencerna satu kefahaman yang lebih jelas dalam konteks pengertian berdasarkan al-Quran dan hadis. Jangan kita berterusan mengikut hawa nafsu dan keangkuhan dalam mempertahankan pendapat yang kita ikuti selama ini. Sudah sampai masanya kita menerima pendapat berdasarkan dalil. Dalam 'Ilmu Tasyri' iaitu Al Imam As Syafie pernah menyebut "Kalau sahih hadis itu maka itulah mazhabku. Kalau ada pendapatku yang bertentangan dengan al-Quran dan As Sunnah yang sahih, buanglah pendapatku itu. Mungkin ada yang tidak kuketahui".
Sifat rendah diri yang pada seorang ilmuan agung seperti Al Imam As Syafie yang sanggup menerima kenyataan dan mengakui kesilapan yang dilakukannya wajar dicontohi. Renungi firman Allah bermaksud: "Katakanlah Apakah di antara sekutumu ada yang menunjukkan kebenaran? Katakanlah: Allah yang menunjukkan kebenaran." Maka, apakah orang yang menunjukkan kebenaran lebih berhak diikuti atau orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat >demikian?) Bagaimanakah kamu mengambil keputusan" (Surah Yunus - Ayat >35).
Masalah umat Islam hari ini ialah kegagalan mereka menuruti Islam walaupun sudah diberi penjelasan dan penerangan mengenainya secara jelas. Ketidakprihatinan terhadap segala perkara kebenaran lantaran tidak mahu hilang kedudukan adalah satu sikap buruk yang harus dikikis. Pendapat seorang yang bertaraf guru agama, ulama atau seorang imam boleh diterima pakai tetapi untuk menerima pakai secara menyeluruh sehingga membelakangkan hadis atau menganggap bahawa pendapat mereka sama dengan hadis, maka ia amat bertentangan dengan garis panduan yang sudah dibuat oleh ulama usul.
Selepas faham mengenai tuntutan melatih anak ke arah kebaikan yang mana antaranya membawa mereka ke masjid, kita perlu mengambil berat soal berikut, iaitu:
1) Didik anak menghormati masjid sebagai tempat beribadat. Tidak boleh bising, membawa najis dan kekotoran;
2) Letakkan mereka di dalam saf (berselang-seli) bersama orang dewasa supaya kita dapat mengawasi mereka daripada menimbulkan masalah;
3) Menegur anak dengan baik dan jujur jika mereka melakukan kesilapan. Kejadian seorang Arab Badwi kencing di dalam masjid yang mana Rasulullah tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya menunjukkan betapa baginda tidak melakukan sesuatu perkara mengikut nafsu. Apa yang lebih penting dan patut dijadikan ikhtibar di dalam perkara ini ialah Rasulullah tidak bertindak secara terburu-buru, malah menggunakan diplomasi menangani masaalah itu;
4) Bina keyakinan diri anak dengan melatih mereka supaya bersama orang dewasa di dalam saf. Ini dapat menarik minat mereka untuk bersama-sama ketika membuat pelbagai kegiatan di masjid;
5) Sediakan infrastruktur yang bersesuaian dengan saiz mereka seperti tempat berwuduk yang selesa;
6) Sediakan perpustakaan supaya ia dapat menarik minat mereka membaca buku berkaitan dengan unsur Islam;
7) Adakan program seperti kem motivasi, qiamulail, sukan dan kegiatan berfaedah supaya dapat menarik minat mereka datang ke masjid.
8) Memberi mereka tugas ringan supaya mereka dapat melatih diri ke arah tanggungjawab dan komitmen seperti mengemas sejadah, membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah dan tugas lain yang ringan, bersesuaian dengan konsep yang ingin diterapkan.
Jika nilai murni dapat diterapkan ke dalam diri anak ketika mereka berada di masjid, secara tidak langsung mereka juga menjadi penyeri dan pengimarah rumah Allah. Pengisian nilai murni di kalangan anak ketika mereka berada di masjid adalah satu proses permulaan untuk mengekang keutuhan dan perpaduan ummah di negara ini.
sumber : blog
Ringkasan Khutbah di MWHS - Insiden Flotilla & Tindakan kita
Khatib juga menyatakan misi kemanusian tersebut antara rentetan daripada ketidak pengiktirafan Israel ke atas kerajaan Hamas yang menang dan membentuk kerajaan di Palestine. Ia salah satu usaha untuk menjatuhkan kerajaan Hamas secara memberi tekanan supaya rakyat memilih parti yang sealiran dengan Israel dan US. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Israel sejak Hamas menjadi kerajaan seperti menyekat 8 pintu masuk ke Palestine (1 daripadanya terletak di Mesir), tidak membenarkan Palestine di bina semula selepas Peperangan Gaza menyebabkan 1.5 juta penduduk tidak mendapat hak kemanusian yang sepatutnya mereka dapat.
Khatib juga menerangkan Israel melakukan banyak salah perkiraan ke atas beberapa insiden yang berlaku sebelum ini. Antara contohnya, pembunuhan komandan Hamas di Dubai oleh agen Mossad dengan menggunakan passport palsu U.K menyebabkan kecaman hebat oleh masyarakat U.K dan antarabangsa, Peperangan Gaza menyebabkan lebih ramai mujahidin dilahirkan dan mereka tidak gentar untuk bertempur dengan Israel, dan terbaru adalah peristiwa serangan ke atas kapal Mavi Marmara, lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri untuk menyertai misi seterusnya. Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
"kita merancang, ALLAH jua merancang, dan perancangan ALLAH adalah yang terbaik..."
Antara peranan kita sebagai seorang muslim yang boleh dimainkan dalam isu Palestin ini adalah:
1. Beri kesedaran kepada kaum keluarga dan masyarakat.
2. Bersama-sama dengan mereka yang memperjuangkan masyarakat Palestine (Sertai Demonstrasi Aman)
3. Mengawasi tindak tanduk media - beri sokongan jika media adil dan kritikan jika berat sebelah.
4. Bantu golongan anak yatim di Palestine : Program GBP 25 untuk menaja sebulan seorang anak yatim di sana. Sabda Rasulullah mengenai penjaga anak yatim yang bermaksud:
"Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di surga seperti dua jari ini."
(HR. Bukhari)
Penjelasan: (Rasulullah Saw. menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya).
Ringkasan Khutbah di MWHS - Kewajipan Berda'wah
Khatib menekankan mengenai kepentingan da'wah dalam membantu kebangkitan Islam. Seperti contoh yang berlaku kepada Indonesia, dimana merupakan negara umat Islam yang terbesar di dunia dimana suatu ketika dahulu para pedagang Islam memainkan peranan penting dalam menyeru manusia menyerah diri kepada ALLAH. Kerja da'wah adalah kerja yang mulia dan merupakan sebab mengapa rasul-rasul diutuskan seperti daripada petikan al-Quran surah Al Ahzab ayat 45 dan 46 yang bermaksud:
Ringkasan Khutbah Jumaat - Elakkan Keterlaluan dan Bebanan Dalam Beribadah
"ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupnya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan)yang dikerjakannya..."
Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:
Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ringkasan Khutbah di MWHS: Hak-hak Bagi Seorang Isteri
Khutbah Jumaat kali ini menekankan mengenai hak-hak bagi seorang isteri. Antara perkara yang ditekankan oleh Khatib adalah mengenai hak nafkah seorang isteri daripada suaminya. Jika si suami mengabaikannya, maka si isteri dibenarkan mengambil harta daripada suami tanpa pengetahuannya dan sekadar keperluan. Peristiwa yang berlaku ke atas isteri Abu Sufyan iaitu Hindun binti 'Utbah boleh dijadikan sebagai rujukan. Hindun mengadukan keadaan diri kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
Selain daripada itu, khatib supaya menjaga hubungan fizikal antar suami dan isteri dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. Suami tidak boleh sewenang-wenang menggunakan kekerasan terhadap isteri apatah lagi memukulnya. Sebagai satu contoh, khatib mengambil satu nas Al-Quran daripada surah An-Nisa ayat ke 34 yang bermaksud:
Sebagai penutup, perbanyakkan komunikasi antara suami dan isteri bagi memahami antara satu sama lain. Semoga si isteri menjadi ketua bidadari kepada si suami di syurga kelak. Ameen.
Muhasabah Diri
Muhasabah mestilah dilakukan sepanjang masa kerana kita tidak terlepas dari membuat dosa. Mereka yang tidak beramal dengan muhasabah ini akan bertindak mengikut nafsu atau keinginan sendiri kerana tidak pernah menilai sama ada apa yang telah dilakukan itu betul atau tidak. Sebagai seorang yang menyeru kepada Islam, kita tidak terlepas dari berbuat salah kepada diri sendiri mahupun kepada madú. Justeru, dengan muhasabah, kita dapat memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik dari sehari ke sehari. Selain itu, konsep muhasabah akan mengingatkan kita tentang hisab yang akan berlaku di akhirat nanti, lantas menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
Walaubagaimanapun, dalam kita menghisab diri kita perlu berhati-hati agar tidak merasa riya’ atau ‘ujub dengan amal kebaikan yang kita lakukan. Sebaliknya kita perlu merasa risau kerana kita tidak pasti kesempurnaan amalan-amalan tersebut, samada ia diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya mengundang kemurkaanNya. Dalam hal ini, peranan sahabat-sahabat dan masyarakat sekeliling amatlah penting. Saidina Umar ra pernah berkata: “Rahmat Allah semoga tercurah atas siapa yang menunjukkan kepadaku segala cacat diriku”.
"Contoh borang muhasabah amalan"
Ringkasan Khutbah di MWHS: Halal vs Haram
Manfaatkan Masa
“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan; Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya?, Ilmunya; bagaimana ia amalkannya?, Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya? Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya? (Imam at-Tirmizi)
Ringkasan Khutbah di MWHS: Kepentingan Politik Bagi Seorang Muslim
Khatib juga menyatakan bahawa, walaupun sistem negara ini (U.K) bukan secara totalnya mengamalkan sistem Islam, tetapi kita perlu memainkan peranan bagi menjaga keharmonian masyarakat dengan memilih pemimpin yang dapat membetulkan keadaan. Beberapa contoh yang khatib ambil daripada sirah Rasulullah sebelum baginda ditabalkan sebagai rasul dan sebelum adanya negara Madinah. Salah satunya Halful Fudhul iaitu baginda mengakui perjanjian ini iaitu perjanjian menentang kezaliman yang melibatkan bapa saudaranya dan pemimpin-pemimpin yang lain di Mekah dengan menegaskan sekiranya peristiwa itu berlaku di zaman Islam sudah tentu baginda menyertainya, peristiwa perletakkan batu hajaratul aswad oleh baginda atas pemilihan pemimpin besar Quraisy dan pengiktiraf baginda ke atas jasa Hatim Al-Toei iaitu seorang pemimpin di zaman Jahiliah yang berlaku adil dengan melepaskan kaumnya sewaktu ditawan oleh baginda.
Harapan 'Abah', 'Abah' ingin melihat politik di dunia ini di tadbir oleh pemimpin-pemimpin Islam dan berharap agar Umar dan Uwais dapat memainkan peranan dalam menjaga keharmonian sejagat berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Janganlah disebabkan sistem itu bukan sistem Islam maka kita terus tinggalkan sebab sabda Nabi yang bermaksud:
"Kebijaksanaan itu milik orang yang beriman, di mana sahaja dia menemui, dialah yang berhak memungutnya"
Al-Fatihah
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan di masukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Ali Imran: 185
wassalam.
Perjuangan
Perjuangan itu gerun dan mengerikan
hebat dan dasyat mengerunkan hati
bagi mukmin di sini harga dan nilainya
Perjuangan itu bagai sampan di laut
di atas layar tiada perlindungan
di bawah air melambung dan mengulung
menongkah gelombang yang datang melanda
Kiri kanan depan dan belakang
angin yang menderu tidak tahu bila datang
hujan badai yang datang menyerang
bak singa lapar yang garang
Kadang-kadang terdampar di batu karang
penumpang menerima nasib berlainan
ada yang jatuh ada yang tenggelam
yang pandai berenang berpaut ke sampan
Ya Allah Ya Allah Ya Allah
bantulah kami hidup di dunia dan akhirat
Ada yang berjaya berenang ke tepian
sekali lagi ia melayar sampan
walau pelayaran mungkin tidak berjaya
namun harapnya hanya pada Yang Esa
Saff-one
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
Mukjizat Isra' dan Mi'raj
Terdapat perselisihan berkenaan tarikh peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku. Secara pasti ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10 kenabian atau selepasnya. Pendapat sahih yang dipegang oleh jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan jasad dan roh Nabi s.a.w.. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Seterusnya pulang kembali ke rumah Baginda di Makkah pada malam itu juga. Baginda memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda.
Pada malam Isra' dan Mi'raj tersebut, sembahyang lima waktu difardhukan ke atas setiap orang Islam yang baligh dan berakal. Kefardhuan solat pada malam Isra' dan Mi'raj menunjukkan hikmah kenapa solat disyariatkan. Allah seolah-olah berfirman kepada hamba-hamba-Nya yang beriman: Sekiranya Mi'raj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu setiap hari, sebagai mi'raj (anak tangga) untuk kamu naik menemui-Ku dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagai peningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam dalam hawa dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu kebesaran, kekuasaan dan keEsaan Aku. Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan cara memperhamba, menguasai dan menakluki (orang lain). Bahkan melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian dan peningkatan roh menerusi jalan solat.Mukjizat lsra' dan Mi'raj juga mempunyai banyak rahsia. Antaranya ialah:
Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Isra' Mi'raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Kedua: Isra' Mi'raj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalam lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Isra' Mi'raj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, Rasul kita merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.
Sumber : Sirah Nabi Muhammad S.A.W.; Pengajaran dan Pedoman
Oleh: Dr. Mustafa as-Syibaie




