Hukum Solat Jumaat Sekiranya Raya Jatuh Pada Hari Jumaat.

Dipetik daripada blog Ust Ahmad Irfan Ikmal Hisyam:

Terdapat beberapa hadith marfu’ dan juga athar mauquf mengenai isu ini. Antaranya seperti berikut:
حديث زيد بن أرقم رضي الله عنه أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل). رواه أحمد وأبو داود والنسائي وابن ماجه والدارمي والحاكم في “المستدرك” وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وله شاهد على شرط مسلم. ووافقه الذهبي، وقال النووي في “المجموع”: إسناده جيد

Hadith Zaid bin Arqam RA sesungguhnya Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA bertanya kepadanya: “Adakah anda pernah menyaksikan bersama Rasulullah dua Eid dalam satu hari (Jumaat dan Eidul Fitri/Adha)?”. Jawabnya, “Ya.” Soal beliau lagi, “Apa yang Rasulullah lakukan?” “Baginda solat Eid dan mengambil rukhsah tidak menunaikan solat Jumaat, lalu berkata barang siapa yang ingin solat, maka solatlah.” – Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Nasai’e. Dikategorikan sahih mengikut syarat Imam Muslim, sementara di dalam al-Majmu’, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini mempunyai sanad jayyid.

وفي صحيح البخاري رحمه الله تعالى وموطأ الإمام مالك رحمه الله تعالى عن أبي عبيد مولى ابن أزهر قال أبو عبيد: شهدت العيدين مع عثمان بن عفان، وكان ذلك يوم الجمعة، فصلى قبل الخطبة ثم خطب، فقال: يا أيها الناس إن هذا يوم قد اجتمع لكم فيه عيدان، فمن أحب أن ينتظر الجمعة من أهل العوالي فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فقد أذنت له

Dalam sahih al-Bukhari dan Muwatta’ Imam Malik, daripada Abi Ubaid Maula bin Azhar, berkata Abu Ubaid, “Aku menyaksikan dua eid bersama Uthman bin Affan pada hari Jumaat, beliau solat (Eid) sebelum berkhutbah kemudian berkhutbah, katanya, “Wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah terhimpun dua eid, barang siapa yang ingin menunggu untuk solat Jumaat khususnya orang tempatan (ada yang menyatakan penduduk Timur Madinah) maka tunggulah sebentar, barang siapa yang ingin pulang maka aku benarkan.”

Terdapat khilaf ulamak di dalam isu ini, seperti berikut:

1. Mazhab Hanafi berpandangan yang umat Islam disunatkan solat Eid dan difardhukan solat Jumaat seperti biasa sekiranya raya jatuh pada hari Jumaat. Ini termaktub di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir karangan Imam Muhammad, dengan hujjah antara lain ialah solat sunat tidak menggugurkan solat fardhu.

2. Mazhab Shafie berpandangan bagi penduduk kampung yang tidak cukup bilangan makmum solat Jumaat, maka solat sunat Eid adalah memadai bagi mereka, dan tidak perlulah keluar ke masjid di tempat lain untuk menunaikan solat Jumaat. Tunaikan solat zohor sahaja. Ini berdasarkan hadtih Uthman bin Affan seperti di atas. Pendapat ini termaktub di dalam kitab al-Majmum Imam al-Nawawi.

3. Mazhab Hanbali pula berpandangan solat Eid menyebabkan berlakunya rukhsah untuk tidak solat Jumaat, sebaliknya perlu solat Zohor sahaja. Ini termaktub di dalam kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah. Akan tetapi, Imam masjid perlu mendirikan solat Jumaat di masjid bagi membolehkan muslim yang memilih untuk solat Jumaat, melakukan ibadah tersebut.

KESIMPULAN

Berdasarkan hadith dan juga pandangan ulamak seperti di atas, saya lebih cenderung untuk menyatakan, Allahua’lam:

1. Adalah lebih selamat untuk menunaikan solat Jumaat, kerana keluar dari khilaf adalah lebih utama.

2. Akan tetapi sekiranya ada halangan, seperti lokasi masjid tempat himpunan Jumaat jauh, atau waktu siang yang pendek, maka memadailah solat Eid sahaja, dan dituruti dengan solat Zohor. Ini rukhsah yang dibenarkan.

3. Bagi yang tidak menunaikan solat sunat Eid, maka tiada baginya rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat.

4. Imam wajib mendirikan solat Jumaat bagi meraikan pandangan dan pilihan makmum lain.

5. Walaupun ramai ulamak moden seperti Syeikh Atiyyah Saqar dan Sayyid Sabiq mentarjihkan pandangan mazhab Hanbali dengan menyatakan tidak perlu untuk solat Jumaat, akan tetapi adalah kurang tepat jika dikatakan solat Eid itu menggugurkan hukum wajib solat Jumaat. Ianya hanyalah rukhsah yang dibenarkan atas sebab tertentu.

2 comments:

joegrimjow said...

klu kat Malaysia jangan pandai2 nak ponteng
=)

slamat beraya bang

SriPanggung said...

syukran atas infonya..baru tau..

;)