Salji Oh Salji

SubhanAllah...hari ni salji turun dengan lebatnya. Aku lihat sejak malam tadi lagi salji dah mula turun. Bangun pagi ni tengok salji dah menebal. Sejak aku berada kat UK, inilah salji yang paling lebat pernah turun. Rupanya salji kali ni adalah yang paling tebal juga di UK ni sejak 18 tahun. Kebetulan pagi ni aku ada temujanji untuk melawat nurseri yang akan Umar masuk selepas dia berumur 3 tahun nanti. Jadi kami ambil peluang untuk merakamkan video dan ambil gambar di sekitar nurseri Umar dan rumah kami :)


3 Februari (hari ke-2 selepas turun salji)

Kami anak-beranak turun main salji di kawasan rumah. Hajat nak buat snowman tak menjadi sebab salji dah jadi ais keras dan tak boleh nak dikepal. Akhirnya hanya jadi bukit salji :)


5 Februari (hari ke-4 selepas turun salji)

Hari ni hari lahir mak aku. Aku telefon dan ucap selamat pada dia awal-awal pagi lagi (waktu Malaysia). Teringinnya nak balik. Hari ni salji turun lagi dengan lebat. Bertambah tebal dengan salji yang dah turun 4 hari lepas pun belum habis mencair. Kali ni kami tak lepaskan peluang buat snowman. Tapi cuma suamiku seorang yang buat. Lepas tu kami cuma turun ambil gambar anak-beranak. Tak tahan sejuk kalau nak bawa anak-anak aku turun sekali. Umar pun dah kena selsema dan batuk sebab sejuk main salji. Ni gara-gara mak abahnya yang terlebih excited sebab tak pernah jumpa salji tebal. Sampai sini dulu cerita tentang salji. Selamat menonton tayangan gambar yang sempat kami ambil di musim salji di bawah ni :)





"Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." (Al-An'aam: 99)


Selamat Hari Lahir Ke-28 Buat Suamiku

zwani.com myspace graphic comments


Alhamdulillah, hari ini genap usia suamiku 28 tahun. Sempena hari yang istimewa untuk abang tahun ini aku masakkan nasi ayam dan kek keju kesukaannya. Pada sebelah malam kami adakan sedikit jamuan kesyukuran. Semoga abang dalam redha dan rahmat Allah selalu, dipanjangkan usia dalam ibadah, dimurahkan rezeki yang halal, berjaya menyiapkan PhD dengan cemerlang dan bahagia dunia akhirat. Ameen :)

Kek keju bersalut coklat dan buah pic istimewa untuk abang

Kad ucapan istimewa untuk abang

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Ali Imraan: 14)

Salji dan Kek Keju

5 Januari yang lepas salji turun lagi buat kali kedua untuk musim sejuk tahun ini. Kali ni agak tebal juga berbanding kali pertama dalam bulan November yang lalu. Sampai keesokan harinya pun salji masih belum habis mencair. Aku cuma ambil gambar dari tingkap dapur. Nak keluar cuaca sejuk sangat.


Pada hari yang sama juga aku cuba membuat kek keju buat pertama kalinya. Kejunya dah lama aku beli. Sekarang baru kelam-kabut nak buat sebab tarikh luput dah dekat. Resepinya aku ikut dalam web My Resepi. Alhamdulillah menjadi juga. Rasanya memang sedap. Sekejap saja dah habis. Kebetulan kami sekeluarga memang suka kek keju. Lepas ni boleh la cuba buat lagi :)


"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (Al-A'raaf: 57)


Cuti di UK

Semasa cuti Krismas dan tahun baru yang lepas ramai rakan-rakan aku di UK ni yang tak melepaskan peluang pi berjalan-jalan. Aku pun rasa teringin juga nak berjalan ke serata England, Scotland, Ireland dan tempat-tempat lain. Tapi cuti kali ni belum ada peluang nak berjalan jauh sebab anak kedua aku masih kecil dan cuaca pun sejuk. Cuma yang seronoknya ramai rakan yang datang ziarah aku sambil bercuti di Sheffield ni.

13 Disember 2008 - Baiti dan Syah sekeluarga dari Manchester datang ziarah. Kebetulan hari tu ada sambutan Hari Raya Aidil Adha di PMC. Sebanyak 16 ekor kambing telah dikorbankan untuk santapan beramai-ramai. Baiti dan famili pun aku ajak sekali ke majlis tu.

20 Disember 2008 - Kak Jaslina dan Azril sekeluarga serta Hazimin dan Isma dari Glasgow, Scotland datang ziarah. Mereka dalam perjalanan untuk bercuti ke serata England. Lepas bermalam satu malam mereka pun meneruskan perjalanan ke Cambridge.

Justify FullSesi penyampaian cenderahati daripada wakil rombongan

26 Disember 2008 - Kak Fuaada dan Abang Saidi sekeluarga dari Glasgow, Scotland datang ziarah. Mereka ni pun nak berjalan-jalan di England juga. Keesokan harinya mereka pun meneruskan perjalanan Stock on Trent untuk membeli pinggan mangkuk sebelum terus ke Southampton pula.

27 Disember 2008 - Kawan baikku Leecot dan Is sekeluarga dari Cardiff datang ziarah. Pada 28 Disember kami sama-sama ke factory outlet di Doncaster. Ada kedai Next, Clarks, Adidas dan lain-lain yang menjual barangan dengan harga yang agak murah. Tapi aku tak membeli banyak, cuma sepasang kasut untuk aku dan Umar di Clarks. Suami aku pula membeli beberapa helai baju dan seluar di Next. Selepas dua malam di rumah aku, Leecot dan keluarga bertolak ke The Deep di Hull sebelum ke Leeds pula selepas itu.

1 Januari 2009 - Kak Tuty dan Abang Mad sekeluarga dari Dublin, Ireland datang ziarah. Selepas bermalam satu malam di rumah aku, kak Tuty sekeluarga pergi berjalan dan membeli-belah sebelum ke rumah kawan-kawannya yang lain di Sheffield.

Begitulah siri ziarah daripada rakan-rakan aku di UK ni. Terima kasih diucapkan kepada mereka semua yang telah sudi berkunjung ke teratak buruk kami di Sheffield ini. Harap jangan serik untuk datang lagi.

Sementara masih ada jualan sempena tahun baru ni, kami juga tak melepaskan peluang untuk pi berjalan ke Meadowhall, pusat membeli-belah yang terbesar di Sheffield pada 3 Januari lepas. Di Meadowhall tu macam-macam ada. Duit sahaja yang kena sediakan. Tapi aku cuma membeli baju untuk anak-anak di Primark dan Mothercare. Di Mothercare memang mahal. Kalau tak ada diskaun memang aku tak mampu. Selain tu aku juga membeli mainan dan buku untuk Umar di ELC (Early Learning Centre).

Sebenarnya pada jam 12 tengahari hari yang sama juga diadakan demo untuk Palestin di bandar Sheffield. Asalnya aku bercadang nak keluar awal ke Meadowhall supaya sempat nak pergi demo masa balik dari sana. Tetapi disebabkan kami lewat keluar, suami dan anak aku Umar sahaja yang sempat pergi ke demo sementara aku tinggal di Meadowhall.

Sabda Nabi SAW:

“Jangan memperkecilkan (meremehkan) perbuatan kabaikan sedikitpun walau sekadar menyambut kawan dengan muka yang manis”. (Riwayat Muslim)