Kelahiran Puteriku Hafsah Ulfah

Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini telah memberikan kenangan manis buat kami sekeluarga dengan kelahiran cahaya mata ketiga dan puteri sulung kami pada jam 5.48 pagi 23 Ramadhan 1432 H bersamaan 23 Ogos 2011. Puteriku lahir awal lima hari dari tarikh jangkaan iaitu 27 Ogos 2011.

Alhamdulillah, sebelum bersalin aku dapat juga berpuasa selama 18 hari walaupun dalam keadaan sarat mengandung dan tempoh puasa yang panjang lebih kurang 17 jam di UK ni. Dua hari sebelum bersalin iaitu pada Ahad 21 Ogos, aku masih sempat pergi ke jualan carboot untuk membeli barangan bayi. Esoknya Isnin 22 Ogos merupakan hari ulangtahun perkahwinan aku dan suami yang ke-6. Sejak waktu sahur pada hari Isnin tersebut aku dah mula rasa senak perut. Aku sangkakan cuma sakit angin disebabkan aku berpuasa. Jadi aku pun tak berpuasa pada hari tersebut dengan harapan agar sakit akan berkurangan. Namun selepas dah buang air sakitnya tetap ada dan disertai dengan 'braxton hick' seperti contraction nak bersalin. Cuma sakitnya tidak kerap dan sela masanya tidak tetap. Aku fikir masih belum sampai masa nak bersalin sebab awal lima hari dari tarikh jangkaan. Pada pagi tersebut aku sempat lagi membuat biskut cornflakes untuk hari raya. Kemudian pada jam 4.00 petang hari tersebut barulah aku mula rasakan betul-betul contraction nak bersalin dan semakin kerap setiap 15 minit. Lalu aku pun telefon ke bahagian kecemasan hospital bersalin. Aku diminta tunggu sehingga contraction setiap 5 minit. Sebenarnya aku bercadang untuk masak istimewa iaitu nasi kerabu buat berbuka puasa sempena hari ulangtahun perkahwinan kami. Namun, disebabkan aku dah sakit nak bersalin, maka tak jadilah nasi kerabu dan kami berbuka dengan makanan yang ada sahaja.

Contraction aku kali ni agak berbeza daripada dua anakku yang lepas. Daripada jam 4.00 petang Isnin hingga jam 1.00 pagi Selasa esoknya, kekerapan contraction berubah-ubah sekejap 15 minit sekejap 30 minit. Aku pun tak tahu apa sebabnya. Selepas jam 1.00 pagi Selasa tu barulah contraction kembali tetap setiap 15 minit dan selepas jam 3.00 pagi contraction terus jadi 10minit. Selepas suamiku bersahur, lebih kurang jam 3.30 pagi aku pun telefon semula ke hospital bila contraction dah kerap 5 minit. Kemudian kami pun bergegas ke hospital selepas hantar anak-anak ke rumah jiran sebelah. Mujurlah hospital bersalin tak jauh dari rumah kami. Kami tiba di hospital lebih kurang jam 4.00 pagi. Selepas itu aku kena menunggu agak lama juga di bilik pemeriksaan awal. Mungkin kerana pada hari tersebut ramai orang bersalin. Lebih kurang jam 5.00 pagi barulah midwife datang. Masa tu aku dah rasa sakit yang kuat tapi masih boleh bertahan lagi. Selepas tu aku gunakan bantuan gas untuk kurangkan rasa sakit. Alhamdulillah, kali ni aku dapat rasakan kesan gas tersebut dan membantu kurangkan rasa sakit. Kemudian bila midwife check tak sangka bukaan servik aku dah 9 cm dan aku pun terus dimasukkan ke wad bersalin. Alhamdulillah, di wad bersalin aku dibantu oleh midwife yang baik dan berpengalaman. Bila midwife tersebut check bukaan servik aku lagi sekali dah sampai 10 cm. Lepas tu dia suruh aku meneran bila dah rasa nak meneran. Alhamdulillah, proses kelahiran kali ni cepat dan mudah. Selepas beberapa kali meneran selamatlah puteriku lahir ke dunia tepat jam 5.48 pagi. Kali ni juga aku tak kena jahitan apa-apa. Cuma sewaktu uri aku dikeluarkan ada bahagian mambran yang tercerai dan midwife tersebut dah cuba keluarkan semuanya. Dia dah pesan jika ada yang keluar lagi lepas ni kena maklumkan pada midwife. Alhamdulillah, puteriku lahir dalam keadaan sempurna dengan berat 3.19 kg. Selepas itu, kira-kira jam 9.00 pagi baru aku dipindahkan ke wad biasa dan selepas pemeriksaan aku dan bayi semuanya normal, kami pun dibenarkan pulang ke rumah pada jam 8.00 malam hari yang sama.

Selepas lahir

Semuanya baik selepas aku pulang ke rumah. Cuma, selepas lima hari bersalin aku kena pergi semula ke hospital kerana masih ada baki mambran uri yang tertinggal dalam rahimku dan dah ade sedikit jangkitan. Alhamdulillah, aku sedar mambran tersebut keluar selepas aku berurut. Semasa di hospital, doktor telah keluarkan semua baki mambran yang tertinggal dan aku kena makan antibiotik selama lima hari. Alhamdulillah, selepas itu aku semakin sihat semula.

Pada hari ke-7 iaitu sehari sebelum Aidilfitri, kami telah adakan majlis kecilan sempena mencukur rambut dan memberi nama puteri kami. InsyaAllah nama yang diberi ialah Hafsah Ulfah. Hafsah sempena nama isteri Rasulullah s.a.w dan puteri kepada Saidina Umar Al-Khattab manakala Ulfah bererti kemesraan, keramahan, persahabatan dan kasih sayang. Mudahan puteriku Hafsah Ulfah akan membesar menjadi anak yang solehah dan bertaqwa.

Selepas cukur rambut

Alhamdulillah, sepanjang dua minggu pertama selepas aku bersalin, komuniti Malaysia di sini telah membuat jadual masak. Jadi setiap hari ada sahabat yang akan datang menghantar makanan dan menziarah kami. Terima kasih diucapkan kepada semua.

Aidilfitri kami tahun ini juga lebih berseri dengan kehadiran puteri baru. Walaupun aku tidak boleh keluar beraya kerana masih dalam pantang, ramai sahabat yang datang menziarahi kami. Sekarang sudah lebih tiga minggu berlalu selepas aku bersalin. Aku pun rasa semakin sihat dan anakku juga semakin membesar sihat dengan susu ibu yang cukup. Alhamdulillah :)

Berusia tiga minggu

No comments: