Pada Jumaat 17 Disember yang lalu kami sekeluarga menerima dua perkhabaran dari tanah air. Pertama ialah khabar gembira dan kesyukuran kerana adik iparku telah selamat diijabkabulkan dan sah bergelar seorang isteri. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkaNya walaupun kami sekeluarga merasa agak sedih kerana tidak dapat turut serta meraikan hari bahagia mereka. Kami doakan agar rumahtangga yang dibina sentiasa dalam rahmatNya dan kekal bahagia hingga ke Syurga :)
Pada sebelah malam 17 Disember (waktu UK), kami dikejutkan pula dengan berita pemergian adinda Mas Afzal Masarudin pada jam lebih kurang 2 pagi 18 Dis (waktu Msia). Innalillahiwainnailaihirajiun. Kami rasa seolah-olah tidak percaya dengan khabar tersebut walaupun air mata sudah tidak dapat ditahan lagi daripada mengalir. Aku pernah menulis entry berkenaan kepulangan Mas ke tanah air di SINI. Adakala kami masih terbayangkan sewaktu Mas masih di Sheffield dahulu, dia kerap ke rumah kami. Di rumah kami ini banyak kenangan bersamanya. Walaupun sedih dan rasa kehilangan, kami tetap merasa syukur kerana mendapat peluang mengenali arwah semasa hayatnya dan akhirnya penderitaannya melawan sakit kanser telah berakhir. InsyaAllah atas kebaikannya semasa dia hidup di dunia ini menyebabkan dia disayangi oleh orang lain dan juga yang Maha Penyayang. Moga dia ditempatkan di kalangan para solihin dan moga kami dapat bertemu dan bersamanya di sana kelak. Amiin.
Kenangan bersama arwah sebelum dia pulang ke Malaysia