Terima kasih kepada adik Faaiz yang telah memberi poster di atas. Semoga tahun baru hijrah ini memberi keazaman dan kekuatan untuk kita berhijrah ke arah yang lebih baik dan menyumbang apa yang termampu (wang, doa, demo, boikot barang Israel dll) kepada saudara kita di bumi Palestin.
Sabda Rasulullah SAW:
“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”
Sekarang ni di Sheffield dah masuk musim sejuk rupanya. Aku tak terasa bila musim luruh berlalu sebab dalam tempoh 2 bulan lepas aku hanya duduk dalam rumah sebab lepas bersalin. Bila keluar rumah aku tengok banyak pokok yang sudah tinggal dahan dan ranting. Aku tak sempat nak tengok masa daun-daun pokok berwarna kuning keemasan sebelum luruh. Sebenarnya musim luruh dan musim sejuk tahun ni adalah kali kedua yang aku lalui. Aku tiba di UK tahun lepas pun masa musim luruh. Bermakna dah setahun aku dan keluarga berada di bumi UK ni. Cepat rasanya masa berlalu. Tinggal dua tahun lagi tempoh pengajian PhD suami aku di sini insyaAllah.
Gambar dari tingkap dapur rumah aku
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-'Asr: 1-3)
Alhamdulillah, sudah lebih 2 bulan selepas aku melahirkan anak kedua. Cepat sungguh masa berganjak. Sudah 2 bulan juga usia anakku Uwais. Terasa bagai baru semalam aku melalui detik-detik mencemaskan ketika melahirkan Uwais.
Pengalaman Bersalin
Mengimbau semula pengalaman 2 bulan yang lalu, aku memang tak menjangka akan bersalin 9 hari lebih awal dari tarikh jangkaan. Seingat aku, tanda-tanda awal seperti sakit belakang telah aku alami sejak 2 malam sebelum bersalin. Sakit perut pula mula terasa sejak awal pagi 15 Oktober. Tetapi aku fikir itu cuma sakit biasa sebab nak buang air besar sebab rasa sakit yang tak konsisten dan tiada tanda darah atau air keluar.
Aku mula pasti yang aku betul-betul sakit nak bersalin pada petang 15 Oktober. Pada masa tu aku baru terasa sakit kontraksi yang ada rentak dan konsisten. Aku pun hubungi bahagian Triage di Hospital Jessop Wing dan midwife yang bertugas minta aku tunggu sampai aku berasa sakit setiap 5 minit. Kemudian aku dan suami pergi ke hospital lebih kurang jam 9.00 malam. Anakku Umar aku tinggalkan di rumah kawanku Rya. Alhamdulillah Umar ok bermalam di sana. Aku agak risau pada mulanya sebab Umar tak pernah ditinggalkan dengan orang lain sejak dia lahir.
Bila tiba di hospital aku terasa sakit yang semakin kuat dan macam nak buang air besar. Aku ingat dah nak dekat sangat bersalin. Rupanya memang aku nak membuang air. Nasib baik aku tak terbersalin dalam tandas. Masa midwife periksa laluan memang dah terbuka 5 cm. Dah separuh jalan rupanya. Lepas tu aku terus dimasukkan ke wad bersalin lebih kurang jam 10.00 malam.
Mula-mula masuk wad aku rasa terkejut juga bila tengok midwife lelaki yang bertugas. Rasa segan juga kalau dia yang akan sambut aku bersalin nanti. Midwife tu tanya sama ada aku nak guna ubat tahan sakit. Aku ingat nak guna suntikan morfin macam masa aku bersalin Umar dulu. Tapi untuk permulaan aku cuba guna gas dulu. Aku rasa sakit berkurang sikit. Lepas tu midwife yang bertugas pun tukar dengan perempuan pula. Lega rasaya. Dialah yang jaga aku sampai bersalin. Bilik wad tu pun selesa untuk aku dan suami. Suami aku siap dihidangkan air panas lagi sementara menunggu aku bersalin.
Hidangan air untuk suamiku
Alhamdulillah, dalam tempoh menunggu waktu bersalin tu, aku dapat bertahan dengan hanya menyedut gas. Selepas lebih kurang 2 jam aku dalam wad, aku mula rasa nak bersalin. Bila aku mula meneran, air mentuban aku pun pecah. Alhamdulillah, dengan bantuan midwife dan sokongan daripada suami aku, aku akhirnya selamat melahirkan seorang anak lelaki tepat jam 12.17 pagi 16 Oktober 2008. Proses bersalin anak kedua aku ni aku rasakan lebih cepat dan mudah berbanding anak pertama dulu. Mungkin sebab badan aku masih bertenaga kerana baru lepas makan dan sakit yang tidak lama sebelum bersalin. Rupa-rupanya anak aku dah buang air besar masa dalam rahim. Jadi selepas anak aku dilahirkan midwife tolong bersihkan badan dia dulu sebelum diserahkan pada suami aku untuk diazan dan diiqamahkan. Sementara tu midwife pun menjahit koyakan yang aku alami semasa bersalin. Kat UK ni guna istilah degree. Aku pun tak berapa faham sangat. Koyakan aku ni second degree kira sederhana agaknya. Selepas tu aku dan suami diberi minum dan makan roti bakar sebelum aku dan anak aku dihantar ke wad lebih kurang jam 2 pagi.
Dalam wad sebelum aku bersalin
Pada mulanya pihak hospital nak tahan aku sampai keesokan paginya sebab mereka nak pantau suhu badan dan pernafasan anak aku selama 24 jam. Mereka takut kalau anak aku kena jangkitan sebab dah buang air besar masa dalam rahim. Semasa aku di wad ada juga kakak dan adik-adik yang datang ziarah dan bawa makanan serta hadiah. Alhamdulillah, keadaan anak aku yang sihat menyebabkan midwife hanya memantau selama 6 jam dan pada jam lebih kurang 5 petang aku dah dibenarkan balik ke rumah.
Pengalaman Berpantang
Dalam tempoh aku berpantang selepas melahirkan anak kedua ni, emak aku tak dapat nak tolong jaga sebab dia tak boleh berjalan jauh nak datang ke UK dari Malaysia. Tapi alhamdulillah dengan sedikit pengalaman berpantang anak pertama dan bantuan dari suami serta warga malaysia yang lain di Sheffield aku dapat melalui juga proses berpantang.
Barang-barang seperti minyak urut, bengkung, tungku, ubat dan lain-lain aku dah sedia bawa dari Malaysia dan ada kawan-kawan di sini yang beri. Makanan pula ada warga Malaysia di Sheffield ni yang bergilir-gilir tolong masak dan hantar ke rumah aku selama 3 minggu pertama selepas aku bersalin. Alhamdulillah, warga Malaysia di sini memang perihatin dan suka membantu. Suami aku pun bercuti untuk jaga aku selama lebih kurang 2 minggu. Dialah yang tolong urut dan sapu minyak pada badan aku tiap-tiap hari sebab kat sini tak ada tukang urut. Alhamdulillah badan aku pun rasa dah makin pulih dan sihat sekarang.
Pada hari kedua lepas aku bersalin juga ada midwife datang ke rumah aku untuk periksa keadaan aku dan anak aku. Selepas 3 kali midwife datang, health visitor pula datang melawat. Lepas ni health visitor akan datang semula masa anak aku berumur 9 bulan nanti. Inilah sedikit sebanyak perkongsian pengalaman aku semasa bersalin dan berpantang di UK ni. Alhamdulillah segala urusan aku dipermudahkan Allah. Terima kasih pada semua yang telah datang menziarah, membantu masakkan makanan serta memberi hadiah :)
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)